Khamis, 26 Oktober 2017 | 4:12pm
NABILA Huda bersama suami, Mohd Izwan Johar. - Foto Rohanis Shukri

'Hampir luruh jantung saya'

KUALA LUMPUR: "Hampir luruh jantung saya melihat Abil berada dalam kesakitan sehingga terpaksa dibawa naik ambulans."

Demikian kata-kata suami pelakon, Nabila Huda Suhaimi, Mohd Izwan Johar, 34, ketika meluahkan kebimbangannya berhubung keadaan kesihatan isterinya apabila wanita itu meraung kesakitan pada bahagian kakinya.

Izwan atau lebih mesra dengan sapaan Bert menjelaskan, Nabila bagaimanapun sudah selamat menjalani ujian imbasan MRI, malam tadi.

Begitupun, berikutan jadual kerja Nabila yang begitu padat, beliau belum berkesempatan berjumpa pakar bagi mengetahui punca penyakit dialami.

"Semestinya saya risau melihat keadaan isteri dalam kesakitan, tambahan pula dia dibawa ke hospital menaiki ambulans. Buat masa ini, punca sakit belum dikenal pasti lagi.

"Abil baharu saja menjalani ujian imbasan MRI, malam tadi, namun belum berkesempatan untuk berjumpa doktor pakar lagi. Insya Allah, isteri saya akan mendapat rawatan lanjut pada minggu hadapan.

"Buat masa ini, Abil terikat dengan penggambaran drama rantaian 100 episod, Dendam Aurora, yang bakal habis tidak lama lagi. Selesai saja komitmen dengan drama itu, Abil akan menjalani rawatan lanjut," katanya kepada BH Online.

Bert menjelaskan, kesakitan Abil pada pangkal pahanya itu berkemungkinan berpunca daripada kecederaan lalu, yang datang kembali selepas beberapa tahun.

Malah, pelakon itu juga dikatakan kurang rehat kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

Beberapa hari lalu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas mengalami kesakitan pada bahagian pangkal paha.

Berita Harian X