Khamis, 26 Oktober 2017 | 5:58pm
PELAKON, Emma Maembong. - Foto Eizairi Shamsudin

'Saya solo, boleh kawan dengan siapa saja'

KUALA LUMPUR: Ketika kontroversi putus cinta dengan Kamal Adli masih hangat diperkatakan, Emma Maembong sekali lagi menarik perhatian netizen apabila didakwa menjalin hubungan dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Salim Rahman.

Tampil memberi penjelasan, Emma menegaskan, dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan Salim.

"Rasanya, saya sudah berterus terang yang saya tidak terikat dengan sesiapa buat masa ini. Jadi, saya terbuka untuk berkawan dengan sesiapa saja. Saya tidak memandang status atau paras rupa, namun budi pekerti saja.

"Sebagai manusia, saya berhak menjalin persahabatan dengan mana-mana pihak. Memandangkan saya sudah solo, jadi saya bersedia membuka hati untuk berkawan dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

"Tidak perlu untuk mensensasikan perkara ini kerana ia memberi impak negatif kepada saya yang baru putus cinta," katanya kepada BH Online.

Selepas mengaku putus cinta dalam kapsul BHTV, Apa Kes yang ditonton lebih sejuta kali pada platform digital BH iaitu BH Online dan YouTube, sejak disiarkan semalam, Emma dikaitkan pula dengan Salim.

Lebih mengejutkan, Emma dikatakan sudah dilamar ahli perniagaan terbabit.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Embong, 25, berkata, dia terbuka untuk mengenali mana-mana jejaka yang ingin berkenalan

dengannya.

Mengulas lanjut mengenai kemelut melanda dirinya dan Kamal dengan kehadiran Zahirah Macwilson yang dikatakan 'orang ketiga' dalam hubungan mereka, Emma enggan lagi campur tangan.

"Cukup kenyataan yang saya beri sebelum ini. Selebihnya, saya serahkan kepada pihak terbabit untuk menyelesaikan perkara ini.

"Lebih baik saya berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan kemelut ini lagi," katanya.

Berita Harian X