Selasa, 31 Oktober 2017 | 10:04pm

Zara Zya amal mandi bunga

KUALA LUMPUR: Dituduh buat muka dan 'main' bomoh, apa saja tanggapan buruk tak habis-habis dilemparkan terhadap pelakon, Zara Zya sejak akhir-akhir ini.

Nampaknya, apa saja yang dilakukan pemegang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 ini menjadi perhatian netizen.

Sejak bergerak aktif dalam bidang seni sejak empat tahun lalu, Zara yang menginjak usia 32 tahun terus dihambat kontroversi termasuk terbaru dituduh melakukan pembedahan kosmetik pada wajah. Bagai dipantau setiap inci perubahan dan transformasi bintang drama Love You Mr Arrogant ini, namun Zara enggan cepat melatah.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin memberitahu dia sebenarnya kasihan melihat segelintir pihak yang seolah-olah mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenai orang lain.

Malah, katanya, ketika dia menjalani pembedahan membuang kelenjar pada pipi, Julai lalu, tanggapan negatif dilemparkan apabila ada yang mengaitkannya dengan prosedur mengubah wajah.

ZARA Zya atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZARA Zya atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Apabila wajah kita buruk, kena kutuk teruk hingga disumpah supaya tak perlu lagi hidup di dunia. Apabila cantik pula, dituduh itu dan ini.

"Mungkin segelintir orang Melayu suka buat dosa 'kering' agaknya. Saya kasihan dengan manusia berhati hitam ini yang ada masa berfikir fasal orang lain. Mungkin hati orang seperti ini tak tenang dan asyik nak jatuhkan orang saja.

"Cara mereka menuduh dan menjatuh hukum itu seolah-olah kenal saya rapat. Cubalah datang dan tengok saya secara berdepan tanpa solekan, bagaimana wajah saya sebenarnya?" katanya kepada BH Plus.

Zara berkata, penyebar fitnah cenderung membuat kesimpulan sendiri sedangkan bermacam aplikasi dan teknik suntingan boleh dilakukan pada gambar yang dirakam menggunakan telefon pintar.

"Sama juga dengan teknik pencahayaan. Kalau rakam gambar hidung pada sebelah sisi, pastilah nampak mancung. Ini tidak. Saya dituduh cucuk muka dan pipi. Kalau dituduh 'buat' gigi, memanglah saya ada jalani rawatan itu seperti artis lain.

"Kalau ubah muka, sumpah saya tak buat benda itu. Banyak faktornya, dulu saya tak pandai bersolek, sekarang saya mula belajar dan menjaga imej," kata pelakon Tuan Anas Mikael ini.

Tidak cukup layangan komen ke akaun peribadi, Zara tahu ada individu tergamak membuka akaun Instagram menggunakan pelbagai nama dan membuat dakwaan tidak berasas terhadap dirinya.

Zara berkata, dia mengambil pendekatan mudah iaitu menyekat akses pengikut laman sosial dan netizen ke atas akaun peribadinya daripada terus menjadi mangsa kecaman.

ZARA bergerak aktif dalam bidang seni sejak empat tahun lalu. - Foto Munira Abdul Ghani
ZARA bergerak aktif dalam bidang seni sejak empat tahun lalu. - Foto Munira Abdul Ghani

"Namun, dalam hati, saya maafkan orang begini. Apa yang penting, saya makin matang dan kuat. Saya kurang pasti kenapa mereka tergamak buat benda macam itu. Mungkin mereka hendak kumpul pengikut baru di laman sosial atau ada masalah jiwa.

"Saya sekat akses perkara berbaur negatif. Buat apa nak simpan? Kenapa hendak biarkan mereka beri aura negatif hingga kita tertekan. Kenapa perlu simpan komen negatif kerana pihak yang membacanya turut buat dosa kering.

"Bagi mereka yang ada masalah itu, baik jumpa saya berdepan. Tak perlulah hendak berselindung di sebalik akaun negatif di wujudkan," katanya.

Serlah aura positif

Dalam rancak bercerita mengenai tohmahan orang, Zara berkongsi tip penjagaan diri demi mengekalkan penampilan. Jangan terkejut rupa-rupanya Zara mengamalkan mandi bunga.

Pantas memberi penjelasan, Zara memberitahu, amalan itu bukanlah ritual untuk mempercepatkan jodoh seperti amalan silam.

"Jangan fikir kalau mandi bunga mesti sebabnya hendak cepat dapat jodoh. Saya amalkan mandi bunga sejak lama dulu untuk menambah seri dan aura positif dalam diri.

"Saya tahu ramai orang mengaitkan mandi bunga dengan jodoh. Sama juga dengan kepercayaan mandi bawah jambatan. Saya belum sampai ke peringkat itu," katanya yang mandi bunga sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Zara berkata, jika tidak mandi bunga, dia selalu menggunakan minyak aura bagi menaikkan seri dan terapi aroma.

PELAKON, Zara Zya. - Foto Munira Abdul Ghani
PELAKON, Zara Zya. - Foto Munira Abdul Ghani

"Tuang saja sedikit minyak ke dalam tab mandi dan rendam badan. Pasti dapat hilangkan kepenatan. Sekali berendam berjam-jam pun boleh," katanya.

Zara berkata, sebagai artis dia perlu menyediakan peruntukan untuk berhias termasuk kos penjagaan wajah dan kosmetik.

"Memang perlu belanja besar. Orang dulu-dulu rajin membuat ramuan untuk kecantikan secara tradisional. Sekarang, bukanlah nak kata malas hendak melakukan semua itu, semuanya bergantung kepada kekangan masa dan komitmen.

"Jadi, jalan mudah adalah keluarkan duit dan 'tadah' muka dan anggota badan untuk pelbagai rawatan. Saya juga mengamalkan makanan tambahan untuk kesihatan seperti migrain dan resdung yang dialami," katanya.

Hasilkan gincu sendiri

Beralih soal kerjaya, Zara sedang melunaskan baki penggambaran drama 80 episod berjudul Monalisa arahan Shahrulezad Mohameddin. Dalam drama ini, Zara beraksi bersama Mona Allen, Hafreez Adam dan Nazim Othman.

Ini kali kedua Zara bekerjasama dengan Shahrulezad selepas membintangi drama Bila Hati Telah Hitam.

"Ini kali pertama saya ambil tawaran berlakon drama episod panjang. Dulu saya tak larat buat episod panjang. Paling lama pun dalam 26 atau 30 episod yang mengambil masa tiga bulan.

"Saya setuju berlakon dalam drama Monalisa kerana nak buat 'comeback'. Lagipun, drama slot panjang menjadi trend sekarang," katanya sambil menambah penggambaran dijangka berlarutan hingga Mei depan.

Pada masa sama, Zara juga mengusahakan perniagaan sendiri.

"Biasalah berniaga, ada naik turun. Alhamdulillah, penerimaan masyarakat dan peminat terhadap losen kurus dan tudung amat positif.

"Saya juga mengeluarkan gincu seperti artis lain kerana wanita ada kuasa membeli," katanya.

Zara juga gemar menggunakan gincu pelbagai warna ketika berlakon untuk disesuaikan dengan watak.

"Dengan adanya gincu ini, bolehlah saya promosi jenama sendiri," katanya.

ZARA tahu ada individu tergamak membuka akaun Instagram menggunakan pelbagai nama dan membuat dakwaan tidak berasas terhadap dirinya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZARA tahu ada individu tergamak membuka akaun Instagram menggunakan pelbagai nama dan membuat dakwaan tidak berasas terhadap dirinya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

INFO

  • Dilahirkan di Lenggong, Perak pada pada 22 Oktober 1985.
  • Mula mencipta nama menerusi drama bersiri Love Your Mr Arrogant bergandingan dengan Azlee Khairi. Drama itu mencatat lebih 4.6 juta penonton sepanjang disiarkan.
  • Meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013.
  • Menerima trofi Artis Top Top MeleTOP (Wanita) dan Artis Baharu MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2014.
  • Menang kategori Hero-Heroin Pilihan bersama Azlee Khairi pada kemuncak Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014.
Berita Harian X