Khamis, 2 November 2017 | 7:11am
PELAKON, Fazura (kiri) dan Fattah Amin pada sidang media Filem Wanita Terindah yang diadakan di GSC Pavilion. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Fattah, Fazura terus berteka-teki

KUALA LUMPUR: Pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura terus berteka-teki mengenai spekulasi pertunangan mereka yang kononnya akan berlangsung pada 13 November ini.

Malah, Fattah yang juga pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 3.0, tidak mengiyakan mahupun menidakkan desas-desus itu ketika sekali lagi ditanya mengenainya, malam tadi.

"Doa saja yang baik-baik. Perkara yang baik tentunya saya dan dia (Fazura) akan kongsi. Sebagai lelaki, saya sendiri akan mengambil tanggungjawab dalam soal sebegini.

"Saya sendiri pun suka membuat kejutan. Tidak semestinya 13 November ini. Siapa tahu, mungkin esok saya bertunang?" seloroh Fattah saat ditemui pada majlis pratonton supertelefilem, Wanita Terindah, di sini.

Ia menjadi naskhah kedua yang menggandingkan dirinya dengan Fazura selepas drama Hero Seorang Cinderella.

Supertelefilem arahan Joon Goh itu diterbitkan secara kerjasama antara Astro First Eksklusif, Red Films Sdn Bhd dan FastyleAsia. Ia mula bersiaran hari ini di saluran 480.

Fattah turut berkata, Fazura masih lagi di bawah tanggungan keluarganya.

"Dia juga berhak berkawan dengan sesiapa saja," kata pelakon itu yang mencetuskan fenomena bersama drama Suri Hati Mr Pilot.

Sementara itu, Fazura turut menegaskan dia sendiri tidak akan mengetepikan pihak media dalam soal berkongsi hal peribadi, termasuk perancangan masa depan.

"Saya dan Fattah pun sibuk bekerja. Saya juga terkejut dengan hal ini. Mungkin juga perkara terbabit bertebaran kerana gimik cerita lakonan kami kali kedua ini.

"Tapi yang jelas, kami hanya bertunang dalam cerita ini," kata Fazura.

Kelmarin, BH Online menyiarkan artikel mengenai desas-desus Fattah dan Fazura dikatakan akan melangsungkan pertunangan pada 13 November ini.

Namun, ketika dihubungi, masing-masing menafikan cerita pertunangan terbabit.

Pasangan pelakon ini mula rapat selepas kedua-duanya digandingkan dalam drama Hero Seorang Cinderella yang menemui penonton sebuah saluran berbayar pada Mei lalu.

9283 dibaca
Berita Harian X