Rabu, 8 November 2017 | 7:57pm

Dayang berpeluh kerana gemuruh


DAYANG Nurfaizah ketika menyanyikan lagu Separuh Mati Ku Bercinta pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 minggu kedua di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, mengakui tiada istilah berasa selesa apabila memasuki pertandingan yang turut disertai penyanyi baharu kerana mereka mempunyai semangat luar biasa.

Katanya, beliau melihat semua persembahan peserta lain sudah cukup meremangkan bulu roma, sekali gus memberikannya dorongan untuk turut melakukan yang terbaik.

"Saya tidak menganggap mereka yang berada dalam pertandingan sama sebagai artis baharu atau senior memandangkan dalam mana-mana acara, setiap orang mempunyai peluang sama rata.

"Cuma ia perlu disertai usaha dan kerja keras, manakala selebihnya kita bertawakal selepas memberikan persembahan terbaik," katanya kepada BH Online ketika ditemui selepas program Separuh Akhir Muzik Muzik 32.

Pada minggu kedua separuh akhir yang turut membariskan sembilan lagu lain itu, dendangannya, Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dipilih sebagai Lagu Terbaik.

Terdahulu, secara keseluruhan sebanyak 30 lagu dipilih ke peringkat berkenaan dengan 10 karya dipertandingkan pada setiap minggu. Minggu sebelumnya, karya sentuhan Faizal Tahir dan Mike Chan, Sejati, diumumkan sebagai Lagu Terbaik.


PENYANYI, Dayang Nurfaizah, tidak pernah mengambil mudah cabaran artis baharu apabila berada di pentas pertandingan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Mengakui masih berdepan tekanan apabila menyertai mana-mana pertandingan, fikirannya fokus kepada persembahan bagi menghilangkan perasaan gemuruh.

"Memang saya rasa tertekan kerana harapan pendengar cukup tinggi hingga menjadi beban. Mungkin frasa 'beban' itu agak negatif didengar, tetapi pada masa sama ia bagus kerana dari situ saya berusaha mencabar kemampuan diri.

"Baru saya perasan tangan saya berpeluh dek rasa gemuruh. Apa pun syukur kerana saya sudah berusaha menggalas amanah komposer lagu ini sebaik mungkin," katanya lagi.

Pada minggu terbabit, turut dipertandingkan ialah lagu Jangan Pernah Berdusta dendangan Aepul Drama Band dan Haiza, Aku Sanggup (Sufi Rashid), Rempuh (Tomok & Black), Jangan Menangis (Aizat Amdan), Harus Aku (Sufian Suhaimi), Zalikha (Floor 88), Warkah Untukmu (Ara Johari), Permata Cinta (Aiman Tino) dan Terus Mencintai (Siti Nordiana).

Senarai 12 lagu yang melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 yang bakal diadakan pada Februari depan bakal diketahui Ahad ini, selepas 10 lagi lagu dipersembahkan pada minggu terakhir separuh akhir.


DAYANG Nurfaizah (tengah) dinobatkan sebagai persembahan terbaik pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 minggu kedua. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X