Khamis, 9 November 2017 | 12:10pm
ANIS Al Idrus. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tangguh bulan madu kerana sibuk - Anis Al Idrus

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Anis Al Idrus mengakui kesibukan memenuhi tawaran dan menguruskan perniagaan membuatkan dia dan suami terpaksa menunda rancangan berbulan madu.

Anis memberitahu, rezeki datang mencurah sejak bergelar isteri kepada Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim pada Julai lalu hingga mereka terpaksa menangguhkan perancangan bercuti.

"Syukur dikurniakan teman hidup yang sangat memahami. Suami saya tidak pernah menyekat, namun sebagai isteri, saya perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.

"Cuma, ketika ini, saya perlu menyusun semula jadual kerana ada kerja yang perlu dilunaskan sebelum mengambil cuti panjang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Salima Skin Solutions.

Ditanya mengenai lokasi berbulan madu pilihan, pelakon drama Duda Terlajak Laris itu memberi bayangan lebih suka 'terbang' menghirup udara segar di sebuah pulau di luar negara.

Pada masa sama, Anis atau nama sebenarnya, Sharifah Anis Syed Zainal, 28, memberitahu, suaminya antara penyokong kuat yang membuatkan dirinya terus bersemangat memperbaiki mutu lakonan.

"Sebenarnya, sejak berkahwin saya belum lagi mengambil cuti. Boleh dikatakan saban minggu saya sibuk memenuhi undangan terutama mengacarakan majlis seperti ini.

"Namun, bagi saya restu suami itu sangat penting. Walaupun suami memberi galakan, saya harus pandai membahagikan masa selain memastikan tanggungjawab terhadap suami dan rumah tangga terjaga.

"Kalau ketika solo dulu saya tak kisah di mana pun lokasi penggambaran atau tugasan pengacaraan, sekarang saya lebih memilih dan menetapkan had masa kerja," katanya lagi.

Sementara itu, Anis juga berdebar menanti maklum balas pendengar ramai terhadap single keduanya berjudul Tak Guna ciptaan Hafiz Hamidun yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi.

Berita Harian X