Jumaat, 10 November 2017 | 5:30pm
KUMPULAN Prime Domestic bakal muncul dengan album sulung tidak lama lagi. Foto - Salhani Ibrahim
PRIME Domestic bukan sekadar sebuah kumpulan eksperimen.
KUMPULAN rock Prime Domestic dan XPDC akan berkongsi pentas pada konsert Public Distortion 2017. Foto - Rohanis Shukri

Prime Domestic tak sabar kongsi album dengan peminat

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Wings, Joe, bakal tampil dengan album sulung bersama kumpulan baharunya, Prime Domestic.

Menurut pemain gitar terbabit, beliau dan anggota lain kumpulan berkenaan turut merangka strategi promosi bagi memastikan produk berkenaan dapat dijual seperti yang disasarkan.

Selain Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, Prime Domestic turut dianggotai oleh Aweera selaku penyanyi, Hillary Ang (gitar), Fauzi (bes) dan Ainol (dram).

"Band ini bukan sekadar kumpulan eksperimen semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai evolusi baharu dalam genre rock tempatan.

"Kami tidak sabar hendak memperkenalkan buah tangan sulung kepada peminat bersama kelainan dari segi muzik yang cuba ditonjolkan.

"Biarpun kini ramai artis lebih selesa tampil dengan single, namun kami berpendapat, peminat genre kami lebih sesuai disajikan dengan album penuh," katanya dalam pertemuan bersama BH Online.

Difahamkan, album kumpulan itu yang menjalani proses adunan dan 'mastering' di Australia sepatutnya memasuki pasaran beberapa bulan lalu, namun ditangguhkan atas sebab tertentu.

Sebelum ini, kumpulan yang diperkuatkan dia pemain gitar utama itu sudah memperkenalkan single berjudul Sedingin Pluto kepada pendengar.

Menurut pemuzik berpengalaman itu, kumpulan terbabit juga akan mengadakan sebuah konsert bagi memperkenalkan lagu mereka kepada peminat.

"Konsert yang bakal diadakan pada 9 Disember depan adalah sebagai salam perkenalan daripada kumpulan Prime Domestic. Kami bagaimanapun memilih untuk merahsiakan lagu yang bakal dinyanyikan pada konsert berkenaan kerana kami menjanjikan lebih daripada itu untuk peminat," katanya.

Diberi nama Public Distortion, konsert terbabit akan turut menampilkan kumpulan XPDC. Persembahan selama tiga jam berkenaan akan diadakan di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya.

Tiket konsert mula dijual 17 November lalu menerusi pakej yang disediakan iaitu RM68 (tiket sahaja), RM83 (tiket dan CD), RM98 (tiket dan kemeja T konsert), RM113 (tiket, CD dan kemeja T konsert) dan RM 200 (tiket 'rooftop').

Peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert boleh melayari laman web www.ilassotickets.com atau menerusi talian 03-21706333.

Berita Harian X