Sabtu, 11 November 2017 | 3:49pm
FOUZIAH selamat menimang cahaya mata lelaki seberat 3.04 kilogram.
FOUZIAH selamat menimang cahaya mata lelaki seberat 3.04 kilogram.

Fouziah Gous timang anak lelaki kedua

KUALA LUMPUR: Hampir lima jam bertarung menahan kesakitan, pelakon Fouziah Gous, 35, selamat melahirkan bayi lelaki seberat seberat 3.04 kilogram, di sebuah pusat perubatan di ibu kota, kelmarin.

Pelakon filem Otai dan Sifu & Tongga itu melahirkan bayi keduanya secara normal, 8.15 malam.

Suami Fouziah, Mohd Zhafran Md Yusof bersyukur kerana proses kelahiran anak mereka dipermudahkan dan kedua-dua ibu serta bayi berada dalam keadaan sihat.

"Alhamdulillah, selepas hampir lima jam Fouziah dimasukkan ke dewan bersalin, bayi kedua kami dilahirkan. Mengikut perkiraan doktor, Fouziah dijangka bersalin esok, tetapi sama seperti abangnya, anak kedua kami juga dilahirkan beberapa hari awal.

"Kami sudah melakukannya sejak awal kerana tidak mahu tergesa-gesa pada saat akhir. Ketika ini, belum bersedia mengumumkan nama anak kami kerana ingin menunggu majlis tahnik selesai," katanya.

Bekas pengacara program Nona itu mendirikan rumah tangga dengan Zhafran pada 22 September 2013 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Zeeshan yang bakal mencecah usia dua tahun.

Zhafran yang turut menemani Fouziah sepanjang proses kelahiran berkata, isterinya bakal menjalani proses berpantang di rumah dan dibantu penjaga khas.

"Fouziah dijangka keluar dari hospital dua hari lagi. Ketika ini, dia terlebih dahulu mahu berehat untuk mendapatkan kembali tenaga menguruskan bayi. Sepanjang tempoh berpantang ada pembantu khas yang menjaganya dan bayi.

"Saya tidak pasti berapa lama, tetapi mungkin dua minggu dia akan bersama Fouziah. Semua ini dibuat untuk memudahkan isteri, tambahan pula anak sulung kami juga masih memerlukan perhatian," katanya.

Berita Harian X