Isnin, 13 November 2017 | 11:00pm
FARAH Nabilah adalah graduan Universiti Upper Iowa Malaysia (UIU) dalam bidang psikologi. - Foto Aziah Azmee
FARAH Nabilah suka 'low profile'. - Foto Aziah Azmee

Farah Nabilah tolak taktik kotor raih kontroversi

KUALA LUMPUR: Biarpun drama Titian Cinta sudah melabuhkan tirainya bulan lalu, watak Aisy lakonan aktres jelita, Farah Nabilah masih meninggalkan kesan dalam sanubari penonton setia.

Dengan wajah lembut, anak kelahiran Selangor ini pantas menjadi bualan ramai apatah lagi netizen yang sentiasa memerhatikan gerak-gerinya.

Menganggap populariti diraih suatu permulaan, Farah atau lebih mesra disapa Fawa mahu langkah seninya teratur dengan prestasi lakonan memberangsangkan tanpa terpalit sedikit pun cerita tidak manis.

"Ini satu perubahan pada diri saya. Sebelum ini, saya berlakon dalam beberapa drama antaranya Papa Ricky dan Inikah Cinta, tetapi rezeki saya adalah pada Titian Cinta.


FARAH Nabilah tak mahu raih populariti dengan cara kotor. - Foto Aziah Azmee

"Sejujurnya, tak pernah terlintas dalam fikiran untuk mengejar populariti. Memanglah nak orang kenal kita. Tetapi biarlah dengan cara yang betul.

"Kebetulan saya diberi watak heroin di samping aktor hebat Zul Ariffin. Ini membuatkan saya bersungguh-sungguh menjayakan watak Aisy yang akhirnya membuahkan hasil," katanya kepada BH Plus.

Namun, bagi Farah, kejayaan dikecapi dalam drama Titian Cinta bukanlah disebabkan watak hero dan heroin semata-mata, sebaliknya pasukan produksi yang bersungguh-sungguh menjayakan karya berkenaan.

Drama Titian Cinta yang diadaptasi daripada novel Ridhya Iman, disiarkan mulai 12 September hingga 30 Oktober lalu melalui slot Akasia TV3.

Menerusi karya arahan Heykal Hanifah dan diterbitkan Zamriez Golden Pictures itu, Zul memegang watak sebagai Harris manakala Farah sebagai Aisy.

Suka 'low profile'

Berkongsi pengalaman sejak menceburkan diri dalam dunia seni tiga tahun lalu, Farah tidak keberatan menceritakan insiden menjengkelkan yang dialaminya sejak bergelar artis.


FARAH Nabilah. - Foto Aziah Azmee

Farah mengaku beberapa pelakon lelaki pernah datang kepadanya dan menawarkan diri menjadi 'kekasih olok-olok' hanya semata-mata mahu mencetuskan kontroversi.

Enggan meraih populariti dengan cara kotor, gadis berusia 25 tahun itu menolak 'lamaran' yang diterimanya beberapa kali itu dengan cara yang baik.

"Ada beberapa pelakon datang mahu mencetuskan kontroversi. Mereka mahu 'menjalinkan' hubungan dengan saya, nak buat gosip acah-acah bercinta.

"Nak tergelak pula rasanya, mujur hati saya kental. Mungkin saya bertahan kerana niat saya yang mahu berada dalam industri ini untuk mengembangkan bakat, jadi semuanya ditolak mentah-mentah," katanya.

Farah berkata, dia lebih gemar bersikap 'low profile' dan menjaga batasan hubungan

"Baru-baru ini, saya bercuti ke Pulau Pinang dan sepanjang berada di sana, orang tak henti-henti mahu bergambar. Walaupun penat, itu tandanya watak Aisy benar-benar memberi kesan kepada semua yang menonton," katanya.

Mahu hos program masakan

Masih baru dalam bidang seni, graduan Universiti Upper Iowa Malaysia (UIU) dalam bidang psikologi ini memberitahu, populariti diraih digunakan sebaik mungkin untuk tampil dengan pelbagai produk atau drama.

Malah, bagi mempelbagaikan lakonan, Farah ingin mencuba watak antagonis sesuatu yang berbeza dengan lakonannya sebelum ini.

"Agak sukar untuk kita mengagak sejauh mana populariti seseorang artis itu dapat bertahan. Bagi saya, sementara dikenali, saya akan cuba memberi yang terbaik untuk mengekalkan momentum dengan memperbaiki diri.

"Selebihnya, biarlah laluan kerjaya seni mengikut arusnya sendiri. Saya ada matlamat sendiri, meraih sebuah trofi kerana bakat lakonan. Ya, perjalanannya masih jauh dan saya mahu terus berusaha untuk ke arah itu," katanya.

Farah berkata, dia mahu melakonkan pelbagai jenis watak.

"Sejak tiga tahun lalu, kebanyakan watak yang diterima adalah gadis baik-baik dan dianiaya. Teringin juga menggalas watak antagonis," katanya.

Farah juga mahu mengembangkan bakat dalam bidang lain seperti pengacaraan termasuk program masakan. Ini kerana Farah suka memasak apabila mempunyai masa lapang di rumah.

"Andai karier lakonan perlahan, saya teringin mengacara program masakan. Jika dapat melakukan dua bidang ini serentak pun apa salahnya. Saya terbuka apa saja tawaran yang datang," ujarnya.

Biodata

  • Nama penuh : Farah Nabilah Saipuddin
  • Nama komersil : Farah Nabilah
  • Tarikh lahir : 10 Mac 1992
  • Umur : 25 tahun
  • Asal : Selangor
  • Telefilem/drama : Titian Cinta, Inikah Cinta, Papa Ricky, Pucuk Muda Kerabu Taugeh dan Mati Tunggu Sekejap.
Berita Harian X