Khamis, 23 November 2017 | 5:55pm
PENYANYI, Aiman Tino merakamkan lagu Terasa Cinta bersama kakaknya, Fara Hazel. - Foto Rosela Ismail

Tiada niat bolot semua jenis muzik - Aiman Tino

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aiman Tino, membidas dakwaan mengatakan beliau ingin membolot semua genre muzik apabila tampil menyanyikan irama rap menerusi lagu terbaharu kakaknya, Fara Hezel.

Aiman berkata, setiap penyanyi mempunyai kelompok peminat tersendiri dan beliau sendiri berniat baik apabila memutuskan untuk merakamkan lagu itu.

"Apabila perkara sebegini timbul, saya ada terfikir sendiri, mengapa pihak berkenaan tidak menegur secara baik, sebaliknya mengecam dengan cara sebegitu?

"Isu ingin bolot semua genre langsung tidak timbul kerana bagi saya, setiap penyanyi mempunyai peminat mereka tersendiri.

"Siapa tahu, langkah bereksperimentasi dalam muzik rap ini sedikit-sebanyak dapat mengembalikan kegemilangan genre terbabit?" katanya.

Terdahulu, seorang anggota sebuah kumpulan muzik yang pernah popular satu masa dulu memuat naik status yang mendakwa, penyanyi hip hop sedia ada, Malique, Joe Flizzow dan Altimet, tidak boleh lagi mencari makan apabila beberapa penyanyi merakamkan lagu rap.

Beliau juga beranggapan tindakan penyanyi itu sebagai satu pencemaran dan penghinaan terhadap industri muzik itu.

Beliau mengakui tiada masalah dengan penyanyi remaja terbabit, cuma bimbang dengan penerimaan peminat terhadap lagu duet Aiman bersama kakaknya, Terasa Cinta.

Aiman, 19, menjelaskan, biarpun terkesan, beliau harus tampil membuktikan dakwaan itu tidak benar, apatah lagi beliau menerima bantuan daripada penyanyi rap 'indie' untuk lagu terbabit.

Terasa Cinta semakin mendapat perhatian peminat apabila video lirik lagu terbabit ditonton hampir 1.4 juta kali sejak dimuat naik ke laman YouTube pada 3 November lalu.

Berita Harian X