Khamis, 23 November 2017 | 7:31pm
PELAKON, Fattah Amin dan Fazura pada sidang media di Royal Chulan Hotel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Fattah, Fazura rancang hari bahagia

KUALA LUMPUR: Pasangan sensasi, Fattah Amin, 27 dan Nur Fazura Sharifuddin, 34, mengesahkan bertunang pada 13 November lalu serta menangkis dakwaan sudah bernikah seperti yang hangat diperkatakan di laman sosial.

Fattah berkata, mereka sedang menguruskan pelbagai perkara, termasuk dokumen pernikahan serta bakal menghadiri kursus perkahwinan sebagai persediaan bergelar suami isteri pada tarikh yang belum ditetapkan lagi.

"Kami sudah bertunang dan majlis merisik diadakan pada hari sama pada 13 November lalu di kediaman nenek Fazura di Petaling Jaya, Selangor.

"Ia majlis tertutup atas permintaan keluarga kedua-dua pihak.

"Memang sejak awal kami sudah merancang untuk menghebahkan berita gembira ini kepada media dan peminat selepas pulang dari Makkah, tetapi ada pihak yang membuat spekulasi lebih awal hingga membuatkan ramai tertanya-tanya.

"Kami ingin mengesahkan tiada majlis pernikahan seperti yang tersebar di media dan laman sosial dalam tempoh dua minggu kami di Makkah," katanya pada sidang media khas di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.

Pasangan yang hadir sedondon dalam persalinan putih itu dikatakan terus bergegas ke hotel selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, kira-kira jam 4 petang tadi.

Ditanya mengenai perancangan majlis pernikahan, kata Fattah, ia belum diputuskan tetapi akan diadakan secara tertutup untuk keluarga terdekat.

Fattah menambah, majlis resepsi dirancang awal tahun depan.

11048 dibaca
Berita Harian X