Ahad, 26 November 2017 | 2:41pm

Ibu, bapa sedih Aiman dihina

KUALA LUMPUR: Penyanyi Terasa Cinta, Fara Hezel, mendedahkan ibu dan bapanya, yang juga pencipta lagu itu, sedih dengan kecaman seorang anggota kumpulan terkenal awal tahun 2000 terhadap percubaan adiknya, Aiman Tino, menyanyikan irama rap menerusi karya terbabit.

Katanya, apabila adiknya yang ditampilkan menerusi single terbaharu nyanyiannya itu diperlakukan sedemikian, ia sama juga dengan menghina seluruh keluarganya.

"Lagu terbabit dihasilkan oleh mak dan ayah, jadi pastinya mereka turut berasa sedih. Apabila mereka menghina Aiman, samalah seperti mereka menghina keluarga kami. Mak dan ayah sendiri tak menyangka penyampaian rap Aiman akan menjadi isu sebesar ini.

"Aiman sebenarnya sangat sedih dengan situasi ini. Saya sebagai kakak semestinya kasihan melihat beliau (dalam keadaan) sebegitu. Sejak awal kemunculannya, tidak putus-putus (dirinya berdepan) dengan ujian," luah Fara menerusi Instagramnya.

PENYANYI, Fara Hezel bersama adiknya, Aiman Tino. - Foto Rosela Ismail

Baru-baru ini, menerusi status di laman Facebook, penyanyi dan komposer daripada sebuah kumpulan yang pernah popular hampir dua dekad lalu menyifatkan tindakan Aiman menyanyikan irama rap sebagai pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hip hop.

Fara atau nama lengkapnya, Nurfaraazira Yusri, 21, juga kecewa apabila 'teguran' itu tidak disalurkan oleh pemuzik itu secara berhemah.

"Sebagai orang lama dalam industri, beliau seharusnya menegur secara baik dan tidak perlu untuk memuat naik status sebegitu di Facebook atau laman sosial lain sekalipun.

"Mungkin pada awalnya ia hanyalah status biasa, tetapi apabila banyak sangat campur tangan, pelbagai komen yang tak patut turut keluar. Orang lama seperti beliau seharusnya lebih tahu bagaimana untuk menegur penyanyi baharu seperti kami," katanya.

Fara berkata, mereka takkan berputus asa dengan komen itu, sebaliknya berusaha untuk tampil lebih baik selepas ini. Malah katanya, mungkin adiknya juga berpeluang berguru dengan dengan pemuzik terbabit suatu hari nanti.

Dalam pada itu, Fara bersyukur apabila kecaman diterima mereka secara tidak langsung membuatkan Terasa Cinta semakin mendapat perhatian peminat.

Sejak dimuat naik ke laman YouTube, pada 3 November lalu, video lirik lagu berkenaan kini sudah menghampiri 1.5 juta tontonan.

Sementara itu, Aiman, ibu dan bapanya berangkat ke Tanah Suci Makkah, semalam, bagi mengerjakan ibadat umrah sehingga 10 Disember depan.

AIMAN Tino dan ibu serta bapanya berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah, semalam.

Berita Harian X