Rabu, 29 November 2017 | 9:22pm

Dayang hati-hati jaga periuk nasi

KUALA LUMPUR: Aturan kerjaya seni penyanyi, Dayang Nurfaizah, cukup cantik. Bukan saja berbakat besar, tetapi wanita ini juga memiliki vokal sangat hebat dan dilihat antara penyanyi yang tidak pernah kalah gaya.

Melengkapkan lagi portfolio vokalis ini dalam bidang seni, selain membuatkan dirinya disenangi ramai adalah kerana tidak banyak cerita panas membabitkan dirinya.

Malah, pernah juga dia dianggap sebagai artis yang 'skema' hanya kerana jarang mencetuskan kontroversi berbanding beberapa nama popular lain. Andai ada trofi khas untuk label diberikan kepadanya itu, tidak syak pasti ia akan menjadi milik Dayang.

Melihat senario industri hiburan ketika ini yang menyaksikan banyak isu membabitkan salah laku artis, terutama di laman sosial, sehingga membuatkan nama teman seperjuangan lain turut terpalit sama, sudah tentu penyanyi yang popular dengan lagu Separuh Matiku Bercinta ini layak menyuarakan pendapatnya.

PENYANYI, Dayang Nurfaizah ketika persembahan showcase album baru berjudul 'Dayang Nurfaizah' di Auditorium Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

Pernah merangkak sebelum cipta nama

Dayang berkata, kesukaran yang dilalui pada peringkat awal pembabitannya dalam bidang seni membuatkan dia cukup berhati-hati mengatur langkah.

"Ramai orang ingat menjadi artis adalah sesuatu yang mudah, walhal hakikatnya penyanyi atau pelakon itu sahaja yang tahu. Untuk berada pada kedudukan sekarang, Dayang akui bukannya mudah, bahkan sangat penat untuk sampai ke sini. Penat kerana Dayang perlahan-lahan merangkak dan berjalan sebelum meraih kejayaan hari ini.

"Kerja Dayang adalah menyanyi. Dayang bukan seorang pelakon atau ahli perniagaan. Justeru, Dayang kena jaga betul-betul periuk nasi ini dan akan pastikan tiada langsung perkara kecil yang boleh menjahanamkan kerjaya seni yang sudah saya bina bertahun-tahun ini," kata Dayang kepada BH ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini sempena Anugerah Juara Lagu ke-32 yang bakal berlangsung Februari 2018.

PENYANYI, Dayang Nurfaizah. - Foto Saddam Yusoff

Tiada teman rapat artis

Berikutan tidak mahu tersasar, sekali gus memperjudikan kerjaya seninya yang semakin mekar, Dayang berkata, dia sememangnya berhati-hati dalam memilih kawan.

"Sejak mula-mula menceburi bidang seni lagi, Dayang memang berhati-hati memilih kawan. Bukanlah kerana nak jaga nilai eksklusif atau nak berlagak, tetapi disebabkan Dayang tidak mahu berlaku perkara tidak diingini akibat pengaruh sekeliling," tegasnya.

Melihat kehidupannya yang jarang bersosial dan hanya terikat dengan kerja, penulis tertanya-tanya juga, apakah Dayang tidak mempunyai teman rapat terutama dalam kalangan artis?

Saat diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, dengan pantas Dayang menjawab: "Tiada!"

"Memang Dayang tiada teman dalam kalangan rakan artis. Bukannya apa, kalau Dayang bersama mereka, Dayang rasa macam sedang bekerja. Adalah juga sesekali Dayang melepak dengan mereka selepas habis persembahan, tetapi Dayang tetap rasa seperti sedang buat kerja.

"Apabila semua sudah balik, barulah Dayang jadi diri sendiri. Sebab itu, kawan-kawan Dayang kebanyakannya dari luar industri. Begitupun, adalah juga beberapa rakan artis yang jadi tempat Dayang luahkan perasaan dan berkongsi soal kerja, seperti Bob. Kalau luah pada rakan yang bukan orang industri, takut mereka tak faham," katanya.

PERSEMBAHAN pembukaan dari Dayang Nurfaizah pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 minggu pertama yang berlangsung di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Elak balas komen negatif

Sementara itu, ketika berkongsi pengalaman tatkala berdepan tingkah laku dan tutur bicara pengikut di laman sosial yang ada ketikanya boleh menguji ketahanan diri, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini berkata, hanya kesabaran yang menghalangnya daripada membalas balik komen mereka.

Maklumlah, tidak sedikit golongan selebriti yang tewas apabila terpaksa bertindak agresif dengan menjawab komen netizen sehingga perbuatan mereka menjadi bualan dan bahan berita.

"Kalau ikutkan hati, mahu sahaja balas balik komen mereka yang sesuka hati mengecam Dayang. Ada sahaja yang tak kena di mata mereka, seperti cara nyanyian, solekan dan pakaian Dayang. Biasanya, Dayang hanya gelak apabila membaca komen sedemikian.

"Mujurlah orang sekeliling Dayang bersikap positif dan banyak memberikan nasihat. Selalunya, Dayang akan kongsi dengan mak yang kebetulan tinggal bersama Dayang.

"Memang kena kongsi dan luahkan kerana kalau kita pendam, takut pula ia makan dalam, seterusnya boleh membuatkan kita sakit jiwa," kata pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini.

DAYANG Nurfaizah, Komposer Natasyah dan pencipta lirik Iman Imran dengan lagu Lelaki Teragung dinobatkan Juara pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 di PWTC. - Foto Saifullizan Tamadi

Adakan konsert di Singapura

Mengenai persiapan untuk konsert berskala meganya di Espanade, Singapura, 1 Januari depan, Dayang berkata fasa paling penting sudah pun dilaluinya.

"Apabila mengadakan konsert, perkara paling utama adalah pemilihan lagu dan Dayang sudah pun melalui fasa penting itu. Dayang juga ada bertanya kepada peminat mengenai lagu yang mereka mahu dan banyak juga permintaan yang diterima.

"Selain lagu popular, ada juga yang Dayang sendiri tak sangka akan nyanyikan pada konsert itu. Lagu apa? kenalah tunggu," katanya sambil ketawa.

Persembahan bertaraf antarabangsa itu bakal mendapat sentuhan muzik di bawah arahan komposer, Jenny Chin.

INFO

  • Dayang turut tersenarai sebagai finalis AJL 32 menerusi lagu ciptaan komposer Ajai berjudul Separuh Matiku Bercinta.
  • Setakat ini, Dayang memenangi trofi Vokal Terbaik AJL tiga kali berturut-turut, dengan kali akhir pada edisi lalu.
  • Penyanyi ini juga akan mengadakan konsert solo di Espalande, Singapura 1 Januari 2018.

PERSEMBAHAN Dayang Nurfaizah pada Muzik - Muzik 31 separuh akhir minggu pertama di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Berita Harian X