Khamis, 30 November 2017 | 7:07pm
PENYANYI dan pelakon, Amira Othman, bakal tampil dengan single keempat, Mimpi Indah. Gambar kanan, Hael Husaini. - Foto Aziah Azmee

Amira serasi dengan Hael

KUALA LUMPUR: Karya daripada penyanyi yang juga komposer terkenal, Hael Husaini, terus menjadi pilihan ramai artis masa kini untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam arena muzik, termasuk Amira Othman.

Pernah bekerjasama dengan Hael sebelum ini menerusi single Hati Hati, yang juga runut bunyi drama rantaian Sha & Shah, kali ini mereka berbuat demikian untuk lagu berjudul Mimpi Indah pula.

Amira, 24, optimis dengan kelebihan dimiliki penyanyi lelaki yang meledak dengan lagu Jampi itu untuk mencipta single keempatnya.

Antara deretan penyanyi yang menggunakan khidmat Hael sebelum ini termasuk Dafi menerusi lagu Girl, Indah Ruhaila (Semua Untuk Cinta), Tomok dan Black (Rempuh), Dayang Nurfaizah (Dia) dan Nabila Razali (Cemburu serta Pematah Hati).

"Selepas Hati-Hati, secara tidak langsung saya percaya Hael lebih tahu arah tuju dan genre lagu yang sesuai dengan saya. Dia seorang komposer yang sangat kreatif.

"Selalunya, saya menyukai idea yang dicetuskan olehnya. Malah, kami juga boleh dikatakan mempunyai pendapat lebih kurang sama dalam perbincangan berkaitan pembikinan lagu," katanya.

Menurut Amira, yang turut mencipta nama di arena lakonan menerusi drama Abang Bomba I Love You ini, Mimpi Indah yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim bakal dilancarkan bulan depan.

"Sekarang, kami masih dalam proses menyunting video muzik lagu berkenaan. Andai tiada aral melintang, lagu ini akan mula dipromosikan dalam masa terdekat.

"Ketika ini, saya berehat seketika daripada lakonan bagi memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian, yang ditinggalkan sejak setahun lalu," katanya yang turut membintangi drama Red Velvet bersama-sama Neelofa dan Alif Satar.

Dalam pada itu, Amira juga kini dilihat semakin kerap bersenam dalam usahanya menjaga badan. Sering kali gambar bekas bintang Akademi Fantasia 2013 ini melakukan aktiviti terbabit dengan jurulatih kecergasan dikongsi di laman sosialnya.

"Selama ini, saya hanya berenang untuk mengekalkan stamina. Cuma kebelakangan ini, saya cuba pula berlatih menggunakan beban bersama-sama jurulatih kecergasan.

"Bukannya apa, saya cuma mahu lebih berasa cergas apabila menyanyi dan berlakon. Lagipun, usia kita pun bukannya makin menurun," katanya.

Berita Harian X