Sabtu, 2 Disember 2017 | 1:04pm
FARAH Nabilah.- Foto Aziah Azmee

Farah Nabilah takkan lupa diri

KUALA LUMPUR: Populariti yang diraih selepas drama lakonannya, Titian Cinta mendapat sambutan hangat ketika disiarkan September lalu tidak sesekali membuat bakat baharu, Farah Nabilah Saifuddin lupa diri.

Meskipun semakin dikenali, pelakon yang membawa watak Rahadatul Aisy dalam drama arahan Heykal Hanfiah itu berkata, dia masih tetap Farah Nabilah yang sama dan tidak akan berubah hanya kerana bakatnya mula diterima.

"Saya tidak perlu menjadi hipokrit dan berpura-pura demi menjaga status. Populariti yang diraih tidak mengubah apa-apa dalam diri ini, sebaliknya saya menjadi lebih berhati-hati kerana bimbang tersalah langkah," katanya.

Mula berlakon dengan memegang watak sampingan bermula 2011, hanya dua tahun lalu, bakat gadis berusia 25 tahun itu mula mendapat perhatian apabila diberi peranan utama dalam drama Inikah Cinta.

Langkahnya dalam dunia lakonan semakin terbuka selepas membintangi drama Papa Ricky yang disiarkan awal tahun ini.

"Tidak pernah saya duga watak itu meninggalkan kesan besar. Disebabkan tertarik dengan karakter Rahadatul Aisy, ada penonton yang berhasrat menamakan bayi mereka dengan nama itu. Cara Rahadatul Aisy bergaya juga menjadi perhatian.

"Percaya atau tidak, ketika membintangi Titian Cinta, saya dan Zul Ariffin jarang berbual ketika di lokasi penggambaran. Biarpun agak sukar pada permulaan untuk memahami rentak lakonannya, kami tetap berjaya mencipta keserasian.

"Zul tahu apa yang diinginkan, malah boleh menzahirkan tuntutan sesuatu karakter dengan spontan. Cara dia berlakon membuatkan penonton berasa begitu dekat. Jika diberi peluang untuk kembali bergandingan, pasti saya tidak akan menolak," kata lulusan Sarjana Muda Psikologi dari Universiti SEGi itu.

Farah baru menyempurnakan penggambaran drama Mocha Kau Bahagia bergandingan dengan Syafiq Kyle dan turut dibintangi penyanyi Haqiem Rusli.

Berita Harian X