Ahad, 3 Disember 2017 | 8:19pm
AKTRES, Izreen Azminda. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Izreen mohon maaf rahsiakan perkahwinan

KUALA LUMPUR: Aktres, Izreen Azminda, meminta semua pihak agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan berhubung kisah rumah tangganya yang baru dibina dan menjatuhkan hukum tanpa mengetahui kisah sebenar.

Beliau juga berkata, dirinya tidak perlu mencari bukti bagi menegakkan kebenaran kerana ia pastinya akan datang dengan sendiri satu hari nanti.

Buat waktu ini, katanya, biarlah hanya doa yang dihulurkan oleh semua orang untuk dirinya, suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid, dan isteri pertama pemuzik bebas itu, Intan Liana Saleh.

Menerusi perkongsian terbaru di laman sosial Instagramnya, kira-kira sejam lalu, Izreen berkata, beliau bagaimanapun memohon maaf kerana merahsiakan berita perkahwinannya itu sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan status diri.

"Saya faham, sebagai seorang selebriti seharusnya saya berkongsi berita ini, iaitu pernikahan saya bersama suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid, yang dinikahkan sendiri oleh bapa kandung saya di Sunway Damansara pada 8 Ogos lalu.

"Majlis hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat, tetapi memandangkan status saya sebagai isteri, saya terpaksa akur dengan permintaan suami supaya tidak menghebahkan berita ini sementara waktu.

"Memandangkan ini adalah pernikahan kali kedua buat saya, majlis diadakan secara sederhana mengikut hukum syarak dan terima kasih buat teman rapat, keluarga dan keluarga mentua kerana memegang amanah ini sebaiknya sehingga kenyataan dikeluarkan dengan keizinan suami," kata Izreen.

Beberapa hari lalu, kontroversi perkahwinan rahsia antara Izreen dan Muhammad Radzi atau Ude terbongkar apabila Intan Liana tampil membuat pendedahan mengenai pernikahan seorang aktres dengan suaminya kepada sebuah media.

Walaupun tidak menyebut nama aktres berkenaan, namun suaminya pada hari sama tampil membuat pengakuan Izreen ialah isteri keduanya yang dinikahi beliau sejak Ogos lalu.

Hari ini, BH menerusi ruangan hiburan HIP menyiarkan kenyataan pelakon wanita terbabit yang mendakwa dirinya sekadar menumpang kasih dan akur dengan jodohnya bersama pemuzik itu walaupun sedar ia bukan sesuatu yang mudah untuk ditempuhi.

Berita Harian X