Isnin, 4 Disember 2017 | 2:54pm
FAZURA (kanan) bakal berpadu suara dengan Anggun menerusi single berjudul The Good Is Back. - Foto Rohanis Shukri

Anggun, Fazura rakam lagu duet

PETALING JAYA:  Teka-teki artis antarabangsa yang bakal berpadu suara dengan Nur Fazura seperti pernah diberitahu sebelum ini terjawab apabila penyanyi yang dimaksudkan itu ialah Anggun.

Fazura dan penyanyi Indonesia yang mencipta nama di Perancis itu bakal muncul dengan single berjudul The Good Is Back.

Mengulas kolaborasi julung kali diadakan itu, Anggun berkata, Fazura dipilih kerana bintang itu mempunyai persamaan dengan dirinya.

"Ini kali pertama bertemu dengannya. Sebelum ini saya hanya mengetahuinya dari jauh, menerusi lakonannya yang banyak memenangi anugerah serta program realiti Facing Up To Fazura. 

"Kami juga berkongsi nasib serupa apabila sama-sama kehilangan ayah. Saya sangat mengagumi semangatnya kental itu. Semangat itu yang kami selitkan dalam lagu yang mempunyai mesej positif ini," kata pemilik nama Anggun C Sasmi kepada BH Online.

Mereka ditemui pada sesi rakaman single itu yang diadakan di sebuah studio di sini.

Sementara itu, Fazura mengakui terharu apabila diberi peluang untuk berduet dengan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Snow In The Sahara itu.

"Pada awalnya saya ragu-ragu untuk menerima tawaran ini kerana menyedari siapa saya kalau nak dibandingkan dengan dirinya.  Anggun satu nama yang cukup besar. 

"Saya ucapkan terima kasih kepada Anggun kerana sudi bekerjasama dengan penyanyi baharu seperti saya," kata penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Sayangi Dirimu ini merendah diri.

Single ini akan dimuatkan dalam album solo antarabangsa Anggun yang kelapan berjudul 8, yang akan dilancarkan Jumaat ini.

4364 dibaca
Berita Harian X