X
Rabu, 6 Disember 2017 | 9:43am
PELAKON, Lisa Surihani dan suami, Yusry Abdul Halim bersama anak mereka, Yusof Leonne dan Yahaira Leanne. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Lisa Surihani dan suami, Yusry Abdul Halim bersama anak mereka, Yusof Leonne dan Yahaira Leanne. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Lisa Surihani terpaksa berjauhan dengan anak

KUALA LUMPUR: Julung kali berjauhan dengan dua permata hatinya, pelakon, Lisa Surihani, mengaku begitu merindui Yahaira Leanne dan Yusof Leonne.

Ketika ini, aktres berkenaan berada di Sepanyol atas tuntutan kerja.

Isteri kepada pengarah dan penyanyi, Yusry Abdul Halim, itu terbang ke negara Eropah terbabit kerana terikat dengan kerja belakang tabir penghasilan video muzik Abang Nak Tegur, nyanyian usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.

Penggambaran video berkenaan dilakukan di sekitar Almonaster la Real, Huelva.

"Memang saya tidak mampu untuk menahan rindu apabila berjauhan dengan anak. Hanya Tuhan yang tahu perasaan itu. Namun, demi tugasan yang dipikul, saya kena gagahkan diri juga," kata Lisa, 31, yang bertindak sebagai penolong produksi dan membantu kerja perhubungan awam bagi projek berkenaan.

Dalam pada itu, Lisa berkata, beliau cukup teruja apabila buat kali pertama memikul amanah besar dalam pembikinan video muzik yang diarahkan sendiri oleh suaminya.

"Jika diikutkan, sudah lama sebenarnya saya teringin untuk meneroka bidang sebegini. Saya mahu mencabar diri dan tidak terus selesa dengan apa yang ada. Alhamdulillah, peluang yang datang ini dikira tepat pada masanya.

"Harapnya, saya dapat melaksanakan tugas ini dengan baik. Kami akan berada di sini dalam seminggu, dijangka sampai ke Malaysia pada 8 Disember ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X