Rabu, 6 Disember 2017 | 5:56pm
SHERRY bersama Anugerah Ikon Wanita Muda yang diterimanya hari ini.
ANUGERAH Ikon Wanita Muda 2017 (Kesenian).

Sherry terima Anugerah Ikon Wanita Muda

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Sherry Alhadad, menerima Anugerah Ikon Wanita Muda (Kesenian) hasil bakat dan sumbangannya dalam industri seni.

Anugerah untuk golongan muda berjaya dalam bidang diceburi masing-masing itu dianjurkan oleh Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 33, berkata beliau terharu dan berbangga dengan anugerah yang disifatkan sebagai pencapaian manis sepanjang 11 tahun bergelar anak seni.

"Syukur yang tidak terhingga dengan anugerah ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi mengiktiraf bakat seni saya.

"Lebih manis, saya menerima anugerah ini daripada pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri," katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut, Sherry berkata, anugerah berkenaan juga memberikannya motivasi, sekali gus satu amanah untuk dirinya terus menjadi anak seni berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, seperti juga insan lain, golongan artis turut mempunyai tanggungjawab sebagai rakyat dan sentiasa mempunyai semangat cintakan negara.

"Paling penting, kita terus pastikan dapat hidup aman damai dalam suasana masyarakat majmuk. Saya juga percaya, semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam perkara ini.

"Jujurnya, biarpun berpeluang ke negara lain, bagi saya, Malaysia tetap tanah air tercinta," katanya.

Sherry juga yakin, industri seni mampu memberikan sumbangan besar kepada negara, selain memainkan peranan dalam mengharumkan nama Malaysia.

Selain Sherry, anugerah yang sama pernah diberikan kepada beberapa artis wanita lain termasuk Elfira Loy dan Sharifah Amani.

.

Berita Harian X