Rabu, 6 Disember 2017 | 10:03pm
PELAKON, Emma Maembong. - Foto Eizairi Shamsudin

Usah kecam artis berhijab terpalit kontroversi - Emma Maembong

KUALA LUMPUR: Bertudung tetapi 'panas' dengan cerita sensasi. Begitulah persepsi peminat setiap kali artis berhijab mencetuskan kontroversi. Hipokrit, bermuka-muka atau 'plastik' menjadi antara gelaran yang diberi kepada artis berhijab yang 'hangat' dengan kisah peribadi.

Tidak cukup dihakimi dari sudut moral, ada peminat bagai menjatuhkan hukuman terutama kepada artis berhijab 'bermasalah' yang mengusahakan perniagaan berkonsepkan muslimah dan Islamik.

Bagi mereka, artis terbabit bukanlah 'role model' yang boleh dicontohi melihatkan kepada kontroversi mereka.

Sebelum ini, ramai orang tahu kisah panas yang pernah menghambat pelakon popular seperti Fathia Latiff dan Neelofa yang kebetulan mengusahakan perniagaan bercorak muslimah.

Fathia terseret dengan kontroversi video aksi 'panas' aplikasi Bigo Live manakala Neelofa mencetuskan perdebatan apabila foto yang kononnya menampakkan bahagian lutut pada jeans koyak dipakainya, viral di media sosial.

Bertemu aktres bertudung, Emma Maembong yang juga pernah diburu media berhubung kisah cintanya dengan Kamal Adli, Emma berkata, tidak adil bagi peminat mahu pun netizen mencampuradukkan kisah peribadi dengan profesion mahupun perniagaan diusahakan artis.

"Saya percaya dalam soal apa sekalipun, ini semua adalah rezeki masing-masing. Tak salah bagi golongan artis menceburi perniagaan untuk jaminan masa depan.

"Cuma apabila terjadi kontroversi, janganlah campur soal peribadi dengan apa yang dilakukan termasuk perniagaan. Kita tak tahu kenapa artis terbabit jadi begitu.

"Mungkin dia ada masalah atau sedang tertekan. Kita tak tahu. Sebagai manusia dan rakan artis, kita kena beri sokongan dan semangat untuk artis terbabit tidak mengulangi apa yang dilakukan.


PELAKON, Emma Maembong pada Pelancaran My Sketchbook Shawl by Emma Maembong. - Foto Aziah Azmee

"Kalau kita terus marah, menghentam, menghakimi atau maki hamun, ia takkan ke mana-mana. Jadi, tidak adil kita terus bersikap begitu," katanya kepada BH Plus.

Sokong artis jual produk Islamik

Bagi Emma, keputusan artis menceburi perniagaan berkonsep muslimah dan Islamik sepatutnya disokong.

"Saya fikir ini sesuatu yang digalakkan. Perniagaan sebegitu mengajak semua wanita sama-sama menutup aurat. Ia lebih bagus daripada menjual barang yang tak elok," katanya.

Emma yang muncul dengan drama Awak Suka Saya Tak? dan berganding dengan Alvin Chong, berkata peminat yang suka produk dijual artis, perlu terus memberi sokongan.

"Janganlah hanya satu atau dua kontroversi mahupun tersebar cerita negatif, peminat atau masyarakat tak mahu beli barangan mereka dan terus memboikot. Bagi saya, masyarakat kena asingkan soal peribadi dan perniagaan artis terbabit," katanya.

Tidak menafikan artis perlu memberi contoh yang baik, apatah lagi bagi selebriti yang menjual produk Islamik, Emma menganggap semua orang tidak sempurna.

"Tak semua orang sempurna. Setiap kesalahan manusia mahupun artis itu jangan terus diadili. Sebagai manusia, kita sokong dan mudah-mudahan dapat membawa ke jalan elok.


PELAKON, Emma Maembong (tengah) bersama kakaknya, Yaya Maembong dan Cody Maembong (kiri). - Foto Aziah Azmee

"Janganlah kerana salah satu silapnya, habis dikaitkan perniagaan hingga membabitkan ibu bapa dan keluarga.

"Usahlah hanya satu masalah, semua keturunan artis terbabit dianggap bermasalah. Fikirkan, apa jadi kalau hal kontroversi itu terkena batang hidung sendiri mahupun ahli keluarga kita.

"Cuba bayangkan? Saya percaya kalau produk itu bagus, apa sekalipun ia pasti akan disokong," katanya.

Ditanya apakah kontroversi artis bertudung yang berniaga memberi kesan kepada bisnes yang diusahakan, Emma menafikannya.

"Mestilah tak elok kalau jual tudung tapi terpalit dengan kontroversi. Tapi bagi saya, ia hak individu masing-masing. Pada akhirnya, ia berbalik kepada rezeki," katanya.

Bagaimanapun, Emma sentiasa berusaha mengelak terpalit dengan kontroversi seumpama itu apatah lagi selepas kisah putus cinta dengan Kamal Adli menjadi topik hangat netizen.

"Kadang-kadang soal kontroversi memang tak boleh elak. Kita sebagai manusia sentiasa berhati-hati. Tapi dalam berhati-hati ada kalanya kita diuji. Niat bergurau senda pun boleh disalah erti. Kita tak terlepas daripada semua itu.


PELAKON, Emma Maembong. - Foto Eizairi Shamsudin

"Cuma saya sendiri sentiasa memperbaiki diri menjadi lebih baik. Saya sentiasa cuba menjaga tingkah laku. Kalau saya ada terlanjur kata atau khilaf tingkah, maafkan saya. Saya berusaha dan belajar menjadi lebih baik," katanya.

Mahu hasilkan koleksi tas tangan, gincu

Bercerita mengenai perniagaan diusahakan, selain koleksi tudung, Emma menjual pakaian dan sabun kecantikan.

Apa yang menarik, koleksi tudung dijual adalah lukisan yang dihasilkan Emma yang dicetak dalam fabrik. Sebelum ini, tiga koleksi tudung iaitu Libelle, Metafora dan Fatamorgana sudah dipasarkan.

Ketika ini, Emma mempromosikan empat lagi koleksi baharu iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell.

"Saya memang minat melukis dari kecil lagi. Ini kerana saya mewarisi bakat ayah (pelukis negara Ismail Embong). Daripada saya lukis atas kanvas atau kertas, kenapa tidak saya zahirkan ke atas tudung pula.

"Keluarga saya termasuk kakak, Yaya Maembong dan Cody Maembong antara yang memberi semangat untuk saya membuka perniagaan ini.

"Saya sudah puas kena tipu dan menangis apabila kerjasama perniagaan tidak menjadi. Banyak kali saya putus asa. Tapi kini saya datang dengan semangat baharu," katanya yang merancang menghasilkan tas tangan dan gincu, tidak lama lagi.

INFO

  • Nama sebenar Emma Maembong - Fatimah Rohani Ismail.
  • Pernah meraih trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29.
  • Adiknya Chacha Maembong dan kakak, Yaya Maembong juga bergelar pelakon.
  • Kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Kimchi Untuk Awak.
Berita Harian X