Sabtu, 9 Disember 2017 | 12:19pm
PELAKON, Shaheizy Sam bersama isteri, Syatilla Melvin. - Foto Aziah Azmee

Syatilla elak berlakon dengan suami

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syatilla Melvin mengakui, terpaksa mengelak daripada digandingkan dengan suaminya, Shaheizy Sam kerana kekok beraksi dalam produksi yang sama.

Syatilla berkata, dia dan Sam banyak menerima tawaran yang ingin menggandingkan mereka berdua, namun terpaksa ditolak kerana tidak bersedia untuk melakukannya.

"Entahlah, saya rasa janggal dan pelik jika berlakon dengan suami. Pernah juga saya bertanya Sam, mahukah dia berlakon dengan saya? Dia tidak memberikan sebarang jawapan, kecuali senyum saja," kata pelakon yang popular menerusi drama Sha & Shah itu.

Ibu kepada Syeriv Shaheizy yang kini berusia tujuh bulan itu berkata, dia juga tidak membayangkan jika terpaksa membawa karakter lain di depan suaminya.

"Saya sudah terbiasa melihat suami di depan mata, jadi sukar untuk membayangkan jika terpaksa menjadi orang lain biarpun ia sekadar lakonan. Sukar rasanya untuk menyesuaikan diri biarpun kami sama-sama pelakon," katanya.

Sempat membuat kemunculan istimewa dalam drama Kerna Syurga Bukan Percuma selepas melahirkan anak sulung, Syatilla berkata, Sam yang juga pelakon Pinjamkan Hatiku tidak pernah melarangnya daripada meneruskan minat itu.

"Dia memahami perasaan rindu untuk berlakon selepas lama tidak ke lokasi penggambaran. Dalam hal ini, saya perlu realistik kerana saya sukar berjauhan dengan anak.

"Tunggulah apabila Syeriv besar sedikit, baru saya bersedia untuk kembali aktif," katanya.

Berita Harian X