Ahad, 10 Disember 2017 | 4:28pm
FASHA Sandha. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pilih jodoh bila usia 35 tahun - Fasha Sandha

KUALA LUMPUR: Mengaku belum ada jejaka menambat hatinya untuk bercinta sekali lagi, aktres jelita, Fasha Sandha tidak terburu-buru mencari calon suami.

Akui Fasha, dia senang berkawan dengan jejaka tanpa mengira latar belakang.

Namun, ketika ini, hatinya lebih tenang dan bahagia bersama anak-anak iaitu Putri Raysha Jemaima yang berumur dua tahun dan Putra Rayfal Ramli yang menginjak usia empat tahun.

"Buat masa sekarang, belum ada lelaki yang dapat menambat hati saya menjadi kekasih. Saya masih berkawan tetapi saya lebih selesa dan bahagia dengan kehidupan sekarang bersama anak-anak.

"Saya tidak memilih. Sesiapa saja yang ingin berkawan pun boleh. Tak kiralah dia kenamaan mahupun pelawak. Apa yang penting, mereka faham dan boleh terima saya dengan mereka sekadar berkawan," katanya kepada BH Online.

Namun, aktres berusia 34 tahun ini mengaku rimas dan tidak selesa apabila ada beberapa jejaka berusaha untuk lebih dekat dengannya sehingga sanggup menunggu di set penggambaran.

"Saya tak suka sebab saya bekerja. Tidak manis kru produksi nampak kerap datang set menunggu saya. Tetapi, saya cakap baik-baik bahawa saya tak nak dia datang," katanya.

Mengenai desas-desus dirinya berkawan dengan pegawai kanan polis, Fasha tidak menafikannya.

"Memang betul ada berkawan dengan pegawai kanan terbabit, tetapi itu cuma kawan. Macam-macam orang yang datang berkawan dengan saya. Mereka tahu kami cuma kawan," katanya.

Fasha menyasarkan usia 35 tahun untuk kembali serius menjalin hubungan dengan lelaki.

"Ada beberapa calon, tetapi umur 35 tahun baru saya buat pilihan. Setiap orang ada pendapat dan cara masing-masing bagi berkongsi kebahagiaan.

"Saya akan bagi tahu kalau serius menjalin hubungan dengan seseorang. Tiada niat nak sorok," katanya.

Fasha dan bekas suaminya, Jejai atau nama sebenarnya, Rizal Ashram Ramli, bercerai pada 20 Januari 2016.

Berita Harian X