Rabu, 13 Disember 2017 | 1:01pm
SHIMA Anuar bersama suami, Mohd Solih Toha. - Foto Saifullizan Tamadi
MAJLIS persandingan pelakon, Shima Anuar dan Mohd Solih di Kuala Lumpur, pada April lalu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sambut tahun baharu dengan anak sulung

KUALA LUMPUR: Ketibaan tahun baharu pasti lebih bermakna buat pelakon Shima Anuar yang melahirkan anak sulung tiga minggu lebih awal daripada jangkaan doktor, semalam.

Shima yang membintangi filem 7 Petala Cinta melahirkan bayi perempuan diberi nama Marian Sophia, secara pembedahan.

Isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Solih Toha, 41, itu memberitahu, dia bersyukur dikurniakan rezeki menimang cahaya mata yang menjadi penyeri rumah tangga mereka.

"Anak saya lahir tiga minggu lebih awal. Mengikut kiraan doktor, saya patut bersalin akhir bulan ini. Tapi saya anggap rezeki dan tuah ini datang awal.

"Ternyata ini suatu pengalaman baharu. Kalau fasal penat, memanglah selain kekok menguruskan bayi. Mujur suami banyak membantu. Saya bersyukur kerana beliau sangat menyokong," katanya kepada BH Online.

Shima berkata, dia menimbang kemungkinan mewujudkan akaun Instagram buat si kecil seperti dilakukan selebriti lain, suatu hari nanti.

"Aliran mewujudkan akaun Instagram anak sudah menjadi perkara biasa terutama dalam kalangan artis.

"Cuma, sekarang saya belum terdetik membuka akaun media sosial untuk Marian. Mungkin tunggu dia besar sedikit, barulah saya akan pertimbangkan hal itu," katanya.

Berita Harian X