Jumaat, 15 Disember 2017 | 8:27pm
GAMBAR fail, pelakon, Shaheizy Sam ketika menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Interchanged bersama isteri, Syatilla Melvin pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 September lalu. - Foto Aziah Azmee

Shaheizy Sam tak sanggup lihat isteri 'terseksa'

KUALA LUMPUR: Diikutkan hati, Shaheizy Sam lebih rela isterinya, Syatilla Melvin menjadi suri rumah dan membesarkan anak sulung mereka, Syeriv Samheizy, tujuh bulan daripada berpenat lelah di lokasi penggambaran.

Namun, memahami kerinduan isterinya, pelakon yang pernah tiga kali diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu tidak sanggup menghalang Syatilla daripada meneruskan minatnya.

"Jika ditanya, saya rela melihat isteri duduk di rumah membesarkan anak kami kerana saya tahu penatnya mencari rezeki sebagai anak seni. Tetapi, itu bukan bermakna saya menghalang keinginan Syatilla.

"Saya tiada masalah jika dia mahu berlakon semula. Saya juga mencari makan dalam bidang ini, susah sebenarnya jika ditinggalkan kerana jiwa sudah sebati.

"Cuma, mungkin bukan sekarang kerana anak kami sedang membesar. Syatilla juga sukar berenggang, malah selesa membesarkan sendiri anak. Tunggulah sedikit masa lagi," katanya.

Sebelum ini, pernah terdengar ura-ura mengatakan Sam yang sedang rancak melunaskan baki penggambaran filem Polis Evo 2 tidak lagi membenarkan isterinya berlakon selepas menjadi ibu.

Andaian itu timbul apabila Syatilla tidak lagi ke lokasi penggambaran selepas kali terakhir membuat kemunculan istimewa dalam drama Kerna Syurga Bukan Percuma, Ogos lalu.

Menyentuh perubahan yang dilaluinya selepas menjadi bapa, Sam berkata, kehadiran Syeriv membuatkan dia lebih matang dalam setiap tindak-tanduk.

"Saya tidak lagi main-main kerana tidak pernah tahu apa akan berlaku pada hari mendatang. Tanggungjawab saya semakin besar selepas dikurniakan anak. Dia dan keluarga adalah segala-galanya dalam hidup saya.

"Walaupun sibuk, saya tetap mencari masa bersama anak. Sebelum ini, saya terpaksa berjauhan selama dua bulan kerana menjalani penggambaran di Kuantan, Pahang. Hampir setiap malam saya akan membuat panggilan video untuk melepas rindu," katanya.

Berita Harian X