Khamis, 21 Disember 2017 | 11:05am
FARA (dua dari kanan) bergambar dengan ahli rombongan sebelum berlepas ke Turki, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

Fafau lawan sejuk bantu pelarian Syria

KUALA LUMPUR: Mengotakan janji untuk aktif dalam misi kemanusiaan selepas meninggalkan dunia pengacaraan, Fara Fauzana kini berada di wilayah Gaziantep, Turki, bagi membantu pelarian Syria.

Fara menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Bantuan Musim Sejuk Syria anjuran Malaysian Life Line for Syria (MLLFS), yang berlangsung selama 10 hari mulai Isnin lalu hingga 26 Disember ini.

Fara atau nama penuhnya, Farah Fauzana Mohd Fadzil, yang juga duta MLLFS berkongsi pengalaman dalam akuan Instagram miliknya.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Fafau, menceritakan pengalaman hari pertama mengagihkan bantuan di dua lokasi pelarian Syria di Gaziantep, yang berjalan lancar.

"Dengan wang yang kalian bantu, kami @malaysia4syria mengagih-agihkannya dengan bantuan @bonyanorg.


FARA berkongsi pengalaman mendekati anak-anak pelarian Syria melalui entri pada akaun Instagram.

"Sejuk ke tidak? Ya! Tetapi masih bertahan sebab badan ini banyak lemak. Apa yang risau adalah lebih kepada kanak-kanak dan warga tua.

"Pastinya bantuan anda itu kami akan bekalkan pakaian sejuk dan keperluan lain kepada mereka," katanya.

Mengikut kenyataan media yang diterima BH Online, Fara bersama kru MLLFS melawat Pusat Anak Yatim Al-Ansar, yang menjadi penempatan sementara mangsa perang.

Rombongan juga melawat kira-kira 200 keluarga pelarian di kem pelarian Salli Urfa di sempadan Syria-Turki dan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia.

Antara barangan yang diagihkan adalah selimut, makanan, bahan bakar dan susu.

Misi itu membawa dana sebanyak RM300,000, yang disumbangkan rakyat Malaysia menerusi kempen #FaFau4Syria. Turut serta dalam misi itu adalah wakil Pusat Zakat Pulau Pinang

Sebahagian sumbangan juga diagihkan untuk rakyat Syria yang masih berada di pinggir negara itu seperti di Aleepo dan Idlib.

1374 dibaca
Berita Harian X