Ahad, 24 Disember 2017 | 1:27pm
PESERTA AF Megastar, Indah Ruhaila. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
DENGAN sekali lafaz, penyanyi, Indah Ruhaila sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik dalam majlis tertutup di Subang Jaya.

Indah Ruhaila, Shariff bernikah

KUALA LUMPUR: 'Alhamdulillah, Shariff lelaki terbaik yang hadir dalam hidup saya'.

Begitulah reaksi penyanyi Indah Ruhaila, 30, selepas sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik dalam majlis tertutup di Subang Jaya, pagi tadi.

Melalui kenyataan yang diterima BH Online, penyanyi yang popular dengan lagu Percayalah itu memberitahu, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini mendoakan kebahagiaannya.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat yang mendoakan saya.

"Saya dan suami ada merancang untuk berbulan madu selepas ini, tetapi masih tidak tahu destinasi pilihan. Doakan kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupan kami suami isteri," katanya.

Pada majlis akad nikah itu, Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussein, 30, menerima mas kahwin sebanyak RM1,000.

Majlis akad nikah dihadiri keluarga terdekat dan teman rapat pasangan pengantin itu.

Majlis jamuan bagi pihak pengantin perempuan akan diadakan secara tertutup, malam ini.

Sebelum ini, Indah menerusi kenyataan ringkas memohon maaf tidak dapat mengundang media pada hari bersejarah itu.

Tambahnya, beliau tiada niat untuk berahsia mengenai pernikahannya, namun ia dibuat sebagai menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

Berita Harian X