Isnin, 25 Disember 2017 | 1:27pm
LAN atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof. - Foto Aswadi Alias

Kerja keras untuk suami, isteri Lan masuk hospital

KUALA LUMPUR: Terlalu kuat bekerja dan pergerakan yang tidak terkawal menjadi punca air ketuban isteri kepada penyanyi Lan iaitu Nur Sheila Hassim, 32, bocor hingga dimasukkan ke hospital pada 20 Disember lalu.

Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, berkata, isterinya yang hamil enam bulan, perlu berehat atas katil tanpa banyak bergerak bagi mengelak air ketuban bocor lagi.

"Sepatutnya apabila air ketuban pecah pada masa yang tidak sepatutnya, doktor akan 'induce' untuk segerakan proses kelahiran. Tetapi kandungan isteri baru enam bulan lebih, belum cukup tujuh bulan lagi. Berat bayi dalam kandungan pun belum mencecah satu kilogram.

"Jadi doktor menyarankan isteri untuk berehat atas katil bagi mengelak pergerakan yang banyak.

"Puncanya, mungkin kerana dia terlalu kuat bekerja dan pergerakan tidak terkawal. Tambah pula bekerja dengan saya dalam musim keempat Gegar Vaganza 4 (GV4), pelbagai tekanan diharungi. Sekarang, kami menunggu kebenaran doktor untuk pulang berehat di rumah," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Lan turut meluahkan kekagumannya terhadap isteri yang sanggup berhempas pulas sepanjang beliau terbabit dengan GV4 walaupun sedang sarat mengandung.

"Senang cerita, dia adalah tunggak kerjaya saya. Sepanjang GV4, tanpa henti isteri bekerja dan dia yang menggalas tugas yang paling besar sebagai orang belakang saya. Sungguh dasyat tanggungjawabnya.

"Apatah lagi pelbagai dugaan yang dia dan saya rempuh bersama walaupun dalam keadaan sarat.

"Apabila dia berehat, diakui kerja saya terhenti seketika dan saya perlu perlahankan beberapa kerja. Tetapi untuk memenuhi undangan nyanyian, saya tidak ada masalah," ujarnya.

Pemenang tempat ketiga GV4 itu turut memohon peminat mendoakan isteri dan bayi dalam kandungan agar selamat dan melalui proses kelahiran pada masa yang sepatutnya.

Lan dan Sheila berkahwin pada 6 Disember 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Berita Harian X