Selasa, 26 Disember 2017 | 6:13pm
AIMAN Tino. - Foto Zunnur Al Shafiq

Aiman kembali kepada lagu meleleh

KUALA LUMPUR: Selepas muncul dengan tiga single, Aiman Tino, mengakui fenomena lagu pertamanya, Ku Rela Dibenci, sukar untuk ditandingi.

Menurut penyanyi berusia 19 tahun ini, lagu ciptaan bapa dan ibunya itu nyata mempunyai keajaibannya sendiri, yang membantu mempopularkan dirinya di arena seni.

Sehingga kini, lagu Ku Rela Dibenci menghampiri angka 43 juta tontonan di laman YouTube, sejak dimuat naik pada 1 Jun tahun lalu. Ia kekal sebagai video lagu Melayu paling tinggi jumlah tontonan sekarang.

"Single pertama saya memang memiliki aura tersendiri. Ia umpama keajaiban yang terus melonjakkan nama saya di persada seni. Tambahan pula ia dicipta secara spontan oleh ibu dan bapa.

"Menghasilkan semula lagu macam itu bukanlah mudah, namun ia juga tidaklah mustahil.

"InsyaAllah, untuk single keempat yang akan diterbitkan tahun depan, saya akan kembali dengan konsep jiwang. Lagu itu lebih mendayu-dayu dan 'tangkap leleh'," katanya.

Sementara itu, Aiman berkata dia tidak berkecil hati apabila ada sesetengah pihak mempertikaikan tindakannya menyanyi rap dalam lagu Terasa Cinta dendangan kakaknya, Fara Hezel.

"Saya bukannya hendak tunjuk pandai apabila menyanyi rap dalam lagu itu. Mungkin juga lagu terbabit kurang bersesuaian dengan saya. Apa pun, setiap komen tidak kiralah positif atau negatif, saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Kata Aiman juga, jika diikutkan, dia boleh menyanyi rap dengan betul, bergantung kepada sesebuah lagu.

"Saya juga merancang untuk menyanyi lagu rap secara suka-suka untuk peminat, serta dimuat naik di laman sosial. Ia bukan untuk dipasarkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aiman baru-baru ini muncul dengan produk baju seragam sekolah di bawah jenama Sweet Aiman Junior. Sebelum itu, dia memperkenalkan minyak wangi dan produk kecantikannya sendiri.

Berita Harian X