Khamis, 28 Disember 2017 | 10:20am
SITI Nordiana bertuah apabila percubaan pertama menghasilkan lagu sendiri membuahkan hasil.
SITI Nordiana bertuah apabila percubaan pertama menghasilkan lagu sendiri membuahkan hasil.
SITI Nordiana bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie. - Foto: Nur Adibah Ahmad Izam
SITI Nordiana bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie. - Foto: Nur Adibah Ahmad Izam

Terus Mencintai ubah nasib Nana

KUALA LUMPUR: Berkat kesabaran dan sikap tidak mengenal putus asa, Siti Nordiana kini mampu mencipta populariti bersama lagu solo sendiri.

Sebelum ini, penyanyi yang lebih mesra disapa Nana itu jarang bertuah dengan dendangan secara solo. Sebaliknya, banyak lagu duet beliau bersama vokalis Spin, Achik, yang menjadi siulan ramai peminat.

Jika diimbas semula, cuma lagu Cinta Hanya Sandaran, karya yang memperkenalkan nama penyanyi berusia 33 tahun ini di arena muzik sekitar 1999, benar-benar meledak.

Namun, percubaan sulungnya menghasilkan lagu sendiri, Terus Mencintai, yang dikeluarkan sekitar Mei tahun ini, bagai membawa tuah tersendiri apabila ia menyambung populariti dikecapi Nana selepas menjuarai Gegar Vaganza (GV) musim kedua.

"Kalau hendak dikira, lagu solo Nana yang betul-betul meletup dan dikenali hanyalah Cinta Hanya Sandaran, yang dimuatkan dalam album pertama. Selepas itu, lagu yang disenaraikan dalam album kedua bagai kurang mendapat sambutan.

"Kemudian, percaturan duet dengan arwah Achik pula yang menjadi, seperti Paling Comel dan Memori Berkasih. Seterusnya, keluarlah apa pun single solo sendiri, memang ia kurang dikenali.

"Tetapi, nampaknya tahun ini Terus Mencintai umpama menukar nasib diri dan ia mampu membuatkan Nana tersenyum bangga. Alhamdulillah," kata Nana yang turut menarik perhatian ramai menerusi lakonannya bersama Alif Satar dalam drama rantaian, Dia Semanis Honey.

Kata ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie ini, biarpun banyak dendangan sendiri gagal menyerlah, beliau tidak boleh berputus asa.

"Ketika Nana menghasilkan lagu Terus Mencintai, Nana hanya berserah. Nana sekadar mempertaruhkan lagu itu tanpa mengharapkan apa-apa keajaiban.

"Lebih baik Nana berbuat demikian daripada terus berputus asa. Alang-alang sudah mempunyai platform hasil kemenangan pada GV2, eloklah Nana memanfaatkannya sebaik mungkin. Akhirnya, lagu itu diterima ramai dan popular.

"Sebab itu, kadang-kadang terdetik dalam hati Nana, sesetengah penyanyi generasi baharu sekarang sangat beruntung. Hanya dengan sebuah lagu, ia sudah 'boom'. Ada artis lama seperti Nana yang berdepan dugaan lagu tidak menjadi. Namun, semua itu berbalik kepada rezeki," ujarnya yang turut muncul dengan lagu duet bersama Jaclyn Victor, Nisan Cinta, Julai lalu.

Ketika ini, Nana berasakan cabaran untuk muncul dengan single solo seterusnya agak besar selepas kejayaan Terus Mencintai. Meskipun begitu, beliau akan terus berusaha, malah berkira-kira untuk memperkenalkan lagu baharu pada Mac depan.

Beliau juga dijadualkan memulakan penggambaran drama, Klik! Pengantin Musim Salju, tidak lama lagi. Naskhah yang mungkin menjalani rakaman di Korea atau Jepun itu sekali lagi bakal menggandingkan dirinya dengan Alif.

Berita Harian X