Khamis, 28 Disember 2017 | 12:51pm
ZAITON Sameon akan mengadakan persembahan sempena tahun baharu di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada 1 Januari depan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZAITON Sameon akan mengadakan persembahan sempena tahun baharu di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada 1 Januari depan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZAITON Sameon.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZAITON Sameon.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tetap menyanyi walau bertongkat

KUALA LUMPUR: Walaupun terpaksa bertongkat akibat kecederaan pada kaki selepas terjatuh kira-kira lima bulan lalu, ia tidak menghalang artis berpengalaman, Zaiton Sameon, meneruskan kerjaya nyanyiannya.

Kata Zaiton, 60, nyanyian adalah punca rezeki utama dirinya, justeru tiada alasan untuk beliau terus melayan sakit akibat kejadian terbabit.

"Saya jatuh selepas tergelincir dalam lif ketika menghadiri sebuah majlis pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Akibatnya, kaki terseliuh sehingga saya tidak boleh berjalan.

"Sebelum ini, saya terpaksa berkerusi roda selama dua bulan sebelum menggunakan tongkat, tetapi aktiviti nyanyian tetap diteruskan," katanya kepada BH Online.

Zaiton yang mencipta kegemilangan satu ketika dulu menerusi lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar berkata, meskipun belum sihat sepenuhnya, beliau teruja untuk menjayakan sebuah persembahan khas sempena tahun baharu 2018.

Beliau bakal mengadakan persembahan Nostalgia Bersama Zaiton Sameon di Restoran Rebung, di sini, pada 1 Januari depan.

"Selain kira-kira 10 lagu yang pernah mempopularkan nama saya, persembahan itu juga akan diserikan dengan dendangan duet bersama orang kuat pertunjukan ini, Syed Wafa, menerusi lagu Rindu Pelukan Bonda.

"Saya berharap semua peminat dapat hadir pada persembahan itu nanti dan sama-sama kita menggamit memori," katanya yang turut menyatakan keinginan melihat teman lama yang sudah lama tidak berjumpa datang memberikan sokongan.

Persembahan anjuran bersama Wafa Gallery dan De Media & Event Entertainment itu adalah antara kemunculan solo Zaiton selepas lama menyepi dan tiket persembahan dijual bermula dengan harga RM150 termasuk hidangan.

"Saya akan tetap menyanyi walaupun terpaksa bertongkat sebab nyanyian adalah jiwa dan dunia saya.

"Tetapi, sewaktu menyanyi nanti saya sorok tongkat saya," katanya berseloroh.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X