Khamis, 28 Disember 2017 | 10:34pm
PENYANYI, Khai Bahar, ketika mempersembahkan lagu Bayang pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto: Mohd Asri Saifuddin Mamat

Trofi bukan tiket Khai Bahar goyang kaki

KUALA LUMPUR: Lima trofi yang berjaya digenggam hanya dalam tempoh 16 bulan menjadi artis rakaman tidak membuatkan Khai Bahar berasa selesa dan senang hati.

Jauh sekali hendak berpeluk tubuh, bakat baharu yang meledak dengan lagu Bayang ini sebaliknya berazam untuk terus memajukan diri bagi memperkukuhkan dirinya dalam dunia seni.

"Semua kejayaan yang diperoleh itu bukan menjadi isyarat untuk saya berpeluk tubuh. Persaingan daripada penyanyi lain dan mereka yang baru memasuki industri muzik semestinya sentiasa wujud.

"Justeru, saya perlu berusaha memajukan diri dan memperbaiki kelemahan yang ada. Usaha berterusan itu sangat penting dan lebih utama, saya terus disokong oleh peminat tersayang, termasuk kelab peminat, Khai Bahar Empire," katanya.

Bakal menyambung kontrak selama tiga tahun dengan syarikat rakaman, NAR Records, Khai sememangnya antara bintang yang pantas mencipta nama dalam dunia hiburan tanah air.

Bersama single Bayang, Dari Jauh Saja dan Luluh, penyanyi itu berasakan segala kejayaan dicapai setakat ini umpama keajaiban buatnya.

"Bersama kenikmatan saya lalui sehingga kini, ada kala ia terasa bagai bermimpi. Dalam hati tentunya saya bangga dan lebih menggembirakan, saya mempunyai peminat yang betul-betul menghargai saya.

"Kejayaan memenangi gelaran Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017, kemudiannya menang pula dua trofi pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, masing-masing Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular, bagai detik magis yang tidak pernah diimpikan sama sekali.

"Seterusnya, pada Anugerah Planet Muzik 2017 (APM) di Singapura, peminat mengangkat saya sebagai pemenang kategori Lagu Paling Popular APM (Bayang) dan Artis Paling Popular.

"Saya cuma mampu berharap segala keindahan itu berterusan dan kerjaya seni saya pula berada di landasan yang tepat," kata jejaka yang mula dikenali menerusi aplikasi nyanyian Smule itu.

Khai bagaimanapun belum terfikir untuk mencuba cabang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan.

Katanya, biarlah fokusnya diberikan dulu kepada muzik.

"Buat masa sekarang, memang saya nak tumpukan kepada nyanyian dulu. Saya tidak mahu bersikap tamak dengan mengambil semua peluang dalam satu masa.

"Saya sangat bersyukur apabila Tuhan memberikan rezeki kepada saya dalam bidang nyanyian. Jadi, buat waktu ini, saya belum terfikir untuk melangkah ke dunia lakonan, pengacaraan mahu pun berniaga secara serius," katanya.

Berita Harian X