Jumaat, 29 Disember 2017 | 12:00am
ZUL Ariffin berkata jiwanya berasa kosong selepas kematian ibunya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
ZUL Ariffin berkata jiwanya berasa kosong selepas kematian ibunya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
ZUL Ariffin mengakui masih sukar hendak tidur sehingga kini mengenangkan bonda tersayang. - Foto Mahzir Mat Isa
ZUL Ariffin mengakui masih sukar hendak tidur sehingga kini mengenangkan bonda tersayang. - Foto Mahzir Mat Isa

Terkilan tak sempat bawa ibu tunai umrah - Zul Ariffin

KUALA LUMPUR: "Sejak arwah tiada, saya langsung tidak boleh lelapkan mata. Pejam sahaja mata, pasti terbayang wajah arwah".

Itulah luahan aktor sasa, Zul Ariffin yang pertama kali berkongsi perasaan selepas kehilangan bonda tercinta, Allahyarham Robiah Nasir, 66, akibat serangan jantung pada 5 Disember lalu.

Zul berkata, segala kekusutan yang pernah menghimpitnya bagai melayang sekelip mata apabila berdepan pemergian ibu tersayang.

"Jiwa saya kosong selepas kematian arwah ibu. Selama ini, arwah adalah penguat semangat perjuangan saya, tetapi hari ini, segala-galanya sudah melayang.

"Sejak hari pertama saya berlakon, impian saya hanya mahu membuatkan arwah ibu berbangga dengan pencapaian saya. Alhamdulillah, arwah sempat melihatnya.

"Ketika ini, banyak tawaran yang terpaksa saya ketepikan kerana saya seperti hilang arah tuju. Saya benar-benar rasa kehilangan. Di hadapan orang, saya mungkin masih boleh tersenyum dan tenang, sebaliknya jauh di sudut hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Jiwa saya memang tidak tentu arah ketika ini," katanya kepada BH.

Pada 5 Disember lalu, peminat dikejutkan dengan berita pemergian ibu Zul melalui status dimuat naik kelab peminat aktor itu, Zul Ariffin FC di laman Instagram.

Status dimuat naik berbunyi: "Kami akan sentiasa mengingati Allahyarham sebagai insan yang sangat positif, bertenaga dan menyokong. Sama-sama berdoa dan moga Allahyarham berada di tempat yang baik."

PELAKON, Zul Ariffin hadir bersama ibunya pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Zul Ariffin hadir bersama ibunya pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Difahamkan, Allahyarham Robiah menghembuskan nafas terakhir di kediaman kakak Zul di Damansara, Petaling Jaya, pada jam 4 pagi.

Ketika hayatnya, Zul pernah membawa Allahyarham menghadiri Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Mei lalu yang menyaksikan dirinya merangkul trofi Pelakon Filem Lelaki Popular.

Zul berkata, sehingga hari ini, beliau masih sukar hendak tidur mengenangkan bonda tersayang.

"Mungkin saya menyimpan rasa terkilan kerana tidak sempat bersama arwah pada saat beliau menghembuskan nafas terakhir. Ketika saya tiba, arwah sudah tutup mata. Ia sangat memberi kesan pada jiwa saya," katanya dengan nada sebak.

Bagaimanapun, katanya, apa yang boleh membuatkannya sedikit tersenyum dan memujuk hati apabila berkesempatan meluangkan masa bersama arwah beberapa hari sebelum meninggal dunia.

"Saya bersyukur sempat berbual panjang dan keluar bersama arwah beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Entah kenapa saya tergerak hati memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan kepadanya. Saya memberitahu perancangan mengajaknya bercuti ke Dubai, seterusnya menunaikan umrah di Makkah, bulan depan.

"Kami berjalan sambil berpimpin tangan, saya ajak arwah ronda-ronda. Saya tengok arwah gembira sangat. Bagaimanapun, siapa sangka, itu pertemuan kami yang terakhir.

"Hasrat saya mahu membawa ibu ke Dubai dan menunaikan umrah tidak kesampaian. Saya terbang juga ke Dubai untuk membawa hati dengan ditemani abang angkat dan keluarganya. Insya-Allah, bulan depan saya menunaikan umrah," katanya.

PELAKON, Zul Ariffin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Zul Ariffin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

INFO

  • Kehilangan ibu tersayang, Robiah Nasir akibat serangan jantung pada 5 Disember lalu.
  • Pernah membawa Allahyarham menghadiri ABPBH 3.0, Mei lalu yang menyaksikan dirinya merangkul trofi Pelakon Filem Lelaki Popular.
  • Hasrat membawa ibu ke Dubai dan menunaikan umrah, bulan depan, tidak kesampaian.
Berita Harian X