Ahad, 31 Disember 2017 | 10:39am

Siti berazam jadi ibu yang baik

DATUK Seri Siti Nurhaliza. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Seperti kebanyakan insan lain, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, turut memasang azamnya sendiri sempena kedatangan tahun baharu 2018.

Sebagai bakal ibu, Siti menanam keazaman dalam diri untuk menjadi ibu yang baik buat anak sulungnya yang bakal dilahirkan pada Mac depan.

"Alhamdulillah, Siti amat bersyukur apabila tahun baharu nanti bakal menyaksikan Siti bergelar seorang ibu. Sudah semestinya Siti mahu menjadi ibu yang baik untuk anak yang bakal lahir.

"Siti juga ingin memberikan limpahan kasih sayang dan cuba mendidiknya dengan sempurna," katanya kepada BH Online.

Selain memberikan tumpuan kepada bakal anak, penyanyi Segala Perasaan ini juga merancang untuk membuat 'kepulangan semula' ke arena seni suara selepas agak lama berehat.

"Siti juga mahu membuat 'come back'. Nampaknya, Siti kenalah turunkan berat badan dulu selepas selamat melahirkan nanti. Di samping itu, Siti perlu kembali membuat latihan dengan sebaik mungkin bagi menjayakan konsert, yang dijadualkan pada hujung tahun depan.

"Seperti kerjaya seni, Siti turut membuat perancangan mengembangkan lagi jenama SimplySiti. Jadi, insya-Allah ada beberapa produk baharu yang akan dikeluarkan," kata isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini.

Menurut pemenang tujuh kali gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ini, 2017 baginya berjalan dengan begitu lancar.

PEKAN 24 OKTOBER 2017. Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia-Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Penyanyi Tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWALMUHAMMAD ASYRAF SAWAL

"Pada tahun ini, perancangan untuk memiliki album baharu, SimetriSiti, dan sebagainya berjalan seperti diinginkan. Bagai rezeki anak yang dikandung ini, saya beroleh beberapa penghargaan termasuk kurniaan Datuk Seri.

"Semua itu membuatkan Siti jadi lebih kuat untuk berjuang. Kesimpulannya, perancangan kerjaya dan keluarga pada tahun ini memberi 1,001 rahmat cukup berharga," katanya.

Berita Harian X