Selasa, 2 Januari 2018 | 6:20pm
EIRA Syazira yang ketika ini hamil tujuh bulan bersama suami, Azad Jasmin.

Eira Syazira sambut puteri ketiga

KUALA LUMPUR: Pelakon, Eira Syazira, selamat melahirkan anak ketiga di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, sebentar tadi.

Suaminya, Azad Jazmin atau nama penuhnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 42, menerusi video yang dikongsi di Instagram dengan nada teruja berkata, beliau bersyukur proses kelahiran berjalan dengan lancar dan kedua-dua ibu serta anak berada dalam keadaan sihat.

"Alhamdulillah, isteri saya selamat bersalin anak perempuan. Ia bermaksud, saya kini mempunyai tiga anak perempuan.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan Eira. Syukur kepada Allah. Ini juga bermakna saya masih berpeluang untuk mendapatkan anak lelaki pula," kata Azad.

Berkongsi pengalaman berada di bilik bersalin, Azad berkata, kali ini isterinya menggenggam tangan beliau dengan begitu kuat sehingga membuatkannya berasa sakit pada bahagian terbabit.

"Eira menggenggam tangan saya sampaikan urat nak lari.

"Saya pula pesan padanya, 'pegang perlahan sedikit sayang. Tangan I dah nak tercabut nih'," seloroh Azad.

Eira atau Syazira Shuhaimi, 33 dan Azad, yang juga seorang pelakon, mendirikan rumah tangga pada September 2011.

Pasangan itu juga memiliki dua cahaya mata perempuan iaitu Amarra Sofea Rose, 6 dan Ameisya Leanne Rose, setahun.

Berita Harian X