Khamis, 4 Januari 2018 | 7:17pm
JANNA Nick dan Ajak Shiro menjadi hos baharu Melodi. - Foto NSTP

Janna Nick, Ajak hos baharu Melodi

KUALA LUMPUR: Bertahan 24 tahun sebagai program hiburan popular, Melodi mengumumkan hos baharu iaitu aktres, Janna Nick dan pelawak, Ajak Shiro menggantikan Awal Ashaari dan AG.

Janna dan Ajak mula menemui peminat, Ahad ini, mengisi slot jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari di TV3.

Pengurus Besar, Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Zurina Othman memberitahu, pemilihan Janna dan Ajak memenuhi aliran terkini malah mereka diramal mampu menambah penonton muda.

"Bukan mudah bagi kami menentukan barisan pengacara baharu Melodi yang sudah menjadi jenama yang kukuh dalam hati penonton.

"Untuk memastikan Melodi sentiasa mendapat sentuhan baharu dengan perkembangan tren terkini, kami yakin Janna mampu menarik lebih ramai penonton muda.

"Ajak pula berpotensi dalam bidang pengacaraan dan kami enggan melepaskan peluang keemasan untuk bekerjasama dengannya," katanya dalam kenyataan kepada BH Online.

Tambah Zurina, Melodi yang menemui penonton setiap Ahad, dilanjutkan durasi dengan beberapa segmen baharu yang membincangkan isu viral dan topik hangat diperkatakan peminat.

"Melodi juga akan memperkenalkan tiga segmen baharu iaitu Cerita Sini, Habis Sini, Kecoh Netizen dan Melodi Prihatin selain menyampaikan berita sensasi dunia hiburan.

"Kami berharap program infotainment popular ini akan menceriakan hari Ahad penonton dengan isu sensasi artis tempatan dan luar negara.

"Lebih menarik, netizen menjadi sebahagian daripada program ini di mana segala pandangan mereka dikupas melalui segmen Kecoh Netizen," katanya.

Zurina berkata, musim baharu Melodi juga menekankan sentimen kemasyarakatan dengan mengambil inisiatif menganjurkan program khidmat masyarakat melalui segmen Melodi Prihatin.

"Segmen ini akan menjadi platform bagi artis melakukan kebajikan seperti bertemu kanak-kanak istimewa dan memenuhi impian mereka," katanya.

Dalam segmen Cerita Sini, Habis Sini pula, Melodi akan menjemput artis kontroversi menjelaskan hal sebenar.

Melodi adalah program terbitan Primeworks Studios dan diterajui Jamil Hassan sebagai Penerbit Eksekutif manakala Michelle Wee sebagai Penerbit.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.tv3.com.my.

Berita Harian X