Jumaat, 5 Januari 2018 | 8:29pm
PENYANYI, Ismaliza Ismail ataupun dikenali sebagai Isma AF. - Foto: Khairul Azhar Ahmad

Rumah tangga Isma AF bergolak

PUTRAJAYA: Sekian lama berdiam diri, penyanyi, Ismaliza Ismail atau Isma, 38, mengaku rumah tangga yang dibina bersama anggota kumpulan 2 By 2, Zulkifli Majid atau Zul, 44, sedang bergolak.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu berkata, perkahwinan yang dibina kira-kira dua dekad lalu itu sukar untuk dipertahankan kerana tiada lagi persefahaman antara mereka.

"Sukar untuk saya menjelaskan punca sebenar keretakan rumah tangga kami ketika ini. Namun, apabila sampai masanya, saya akan perjelaskan juga.

"Buat waktu ini, memang ia tidak dapat diselamatkan lagi dan dia sebagai suami pun tiada usaha untuk memperbaiki keadaan," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Showcase Setangkai Irama 80-an, di sini, hari ini.

Kata Isma, sebagai perempuan, tidak manis untuknya menjawab segala pertanyaan berkenaan.

"Dia yang sepatutnya menjelaskan keadaan sebenar.

"Saya sudah lama memendam rasa dan bersedih, jadi cukuplah sampai di sini. Selepas ini, saya ingin fokus pada diri sendiri dan anak-anak," katanya.

Sedih dengan keadaan yang berlaku, Isma bagaimana berkata, beliau enggan menoleh ke belakang lagi mengenangkan apa yang terjadi.

"Anak-anak juga semua sudah besar dan mereka faham situasi kami lalui. Saya manusia biasa, kadang-kadang terlepas juga apa yang terbuku di hati di media sosial.

"Saya reda dengan apa yang berlaku. Walaupun duduk serumah, dia tetap tak berubah dan tiada inisiatif untuk memulihkan perhubungan.

"Saya sudah berusaha mempertahankan rumah tangga ini dan lakukan sebaik mungkin untuk berbaik, namun begini juga kesudahannya," katanya.

Baru-baru ini, Isma dan Zul memuat naik status di laman sosial masing-masing. yang membayangkan perhubungan mereka dilanda badai.

Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 16 April 1998 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 19; Muhammad Haiqal Aydiel, 18; Seri Aida Merlissa, 16; Seri Ayreen Merlynda, 15 dan Seri Adryana Mercella, 11.

8393 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »