Ahad, 7 Januari 2018 | 3:57pm
PENYANYI, Ariff Bahran atau nama sebenar Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari. - Foto Salhani Ibrahim

Ariff tak mahu main cinta

KUALA LUMPUR: Bakat baharu atau mengikut istilah sekarang, 'budak baru nak up', Ariff Bahran, 19, mengaku menerima mesej peribadi daripada gadis yang mahu berkenalan dengannya selepas single, Kata Akhirmu meledak.

Mendakwa masih solo, Ariff memberitahu, dia cukup menghargai setiap mesej peribadi yang dikirim peminat termasuk wanita.

"Saya mengaku ada peminat wanita yang menghantar mesej peribadi di laman sosial untuk berkenalan dan sebagainya.

"Saya hargai apa yang mereka lakukan, cuma saya lebih selesa melayan mereka sebagai peminat. Lagipun saya masih lagi belajar dan tak mahulah perkara begitu mengganggu fokus saya," katanya kepada BH Online.

Ketika ini, single Kata Akhirmu kerap berkumandang di radio. Berteras lagu melankolik dan menepati cita rasa ramai, apatah lagi dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Cinta Hati Batu, memudahkan lagi dendangan ini mendaki carta populariti.

Tambah Ariff, dia sudah berjanji dengan keluarga untuk mencipta kejayaan dalam bidang nyanyian dan akademik, jadi cuba menjauhi cinta biarpun pernah merasainya.

"Ini disebabkan sebelum ini, mereka agak keberatan membenarkan saya menceburkan diri dalam bidang seni," katanya.

Mengenai single Kata Akhirmu, Ariff atau nama sebenarnya, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari mengaku ia berdasarkan pengalaman dirinya putus kasih.

"Sebelum lagu ini dicipta, saya bertemu dengan komposer. Dia meminta saya menceritakan kisah hidup saya. Selepas beberapa hari, dia datang berjumpa dan memperdengarkan lagu ini.

"Memang sedap dan liriknya sangat menyentuh hati. Ia menceritakan pengalaman cinta empat tahun lalu yang terputus di tengah jalan.

"Memang menyedihkan kerana semua yang berlaku adalah angkara dirinya. Saya lelaki yang setia dalam perhubungan," katanya yang berharap peminat dapat memberi sokongan kepada untuk mencipta nama sebagai penyanyi lelaki pelapis.

Berita Harian X