Isnin, 8 Januari 2018 | 5:12pm
TASYA yang juga adik kepada pelawak, Achey, turut bersaing dalam program baharu, Gegar Lawak.

Adik Achey berentap dalam Gegar Lawak

KUALA LUMPUR: Adik artis komedi terkenal, Achey Bocey, Nornatasha Hamzah atau Tasya, turut layak bersaing dalam program baharu, Gegar Lawak, yang mula menemui penonton Astro Warna, 19 Januari ini.

Tasya, 25, adalah seorang daripada dua peserta wanita yang terpilih untuk berentap dalam program berkenaan, bersama-sama 12 bakat komedi lelaki.

Gadis yang bertugas sebagai kerani akaun di sebuah firma kewangan di Labis, Johor itu berkata, beliau mendapat restu abangnya untuk menyertai pertandingan terbabit.

"Abang (Achey) memang memberi galakan dan sokongan penuh untuk saya mencuba nasib dalam pertandingan ini.

"Ia juga pertandingan lawak pertama saya sertai dan berjaya terpilih ke peringkat seterusnya. Sebelum ini, saya ada menghadiri uji bakat pertandingan lain seperti Akademi Fantasia dan Mentor, namun nasib kurang menyebelahi saya," katanya yang turut meminati bidang nyanyian serta lakonan.

Kata Tasya, pada dua saringan awal yang dilalui, beliau memilih untuk merahsiakan statusnya sebagai adik kepada pelawak terbabit.

"Namun, ia akhirnya diketahui juga. Jujurnya, saya bimbang andainya hubungan persaudaraan kami diketahui kerana takut dibayangi abang sendiri.

"Saya risau jika dikatakan cuba menumpang popularitinya. Secara tak langsung, rasanya jangkaan orang luar juga akan lebih tinggi apabila mereka tahu saya adik kepada Achey," katanya.

Gegar Lawak menampilkan Kamal Adli dan Fad Bocey sebagai hos program, manakala pelawak Tauke, Nizam Jentik Jentik, Ali Puteh dan Dzawin pula menjadi Rakan Komedi, sekali gus penasihat kepada peserta.

Juara pertandingan akan memenangi hadiah RM50,000 dan trofi.

Berita Harian X