Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:28am
PENYANYI kelahiran program Akademi Fantasia 2015, Sharul Kamal. - Foto: Owee Ah Chun
SHARUL muncul dengan single ketiga berjudul Racun Rindu.

Sharul Kamal AF pernah murung

KUALA LUMPUR: Bekas peserta Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Sharul Kamal, mengaku pernah mengalami kemurungan dan hidup tertekan selepas berasakan dirinya seperti terpinggir dalam dunia nyanyian.

Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, 21, mendedahkan sepanjang tempoh itu kehidupannya tidak terurus dan sering mengasingkan diri berikutan terlalu kecewa dengan nasibnya.

"Saya menangis dan terperap dalam rumah tiga bulan kerana saya tak mahu jumpa orang. Muka saya serabut, rambut panjang tidak bergunting. Kalau nak makan, saya tunggu sampai semua ahli keluarga tiada, baru saya keluar bilik.

"Saya jadi murung sebab banyak berfikir. Pelbagai persoalan muncul. Kenapa semua orang termasuk industri sendiri seakan-akan tidak menerima saya?

"Pergi ke sana ke mari, orang pun tak layan. Apa saya nak buat? Situasi itu yang menyebabkan saya tertekan," katanya kepada BH Online.

Walaupun pernah putus asa dan terdetik hasrat untuk meninggalkan dunia seni, namun apabila memikirkan kembali sokongan kedua-dua orang tuanya, Sharul kembali bersemangat meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.

"Keluarga saya sangat menyokong apa saja saya lakukan. Mereka sanggup membantu jika saya menghadapi masalah kewangan. Mendengar kata-kata selain melihat wajah mereka, terus saya tersedar. Saya fikir bodoh jika cepat mengalah.

"Mulai saat itu, saya terus bangkit dan enggan mempedulikan kata-kata orang. Saya kena keluar daripada persembunyian," katanya yang muncul dengan single ketiga berjudul Racun Rindu.

2291 dibaca
Berita Harian X