Selasa, 16 Januari 2018 | 10:30am
AKIM & THE MAJISTRET ketika membuat persembahan pada konsert sempena Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Mahzir Mat Isa

Akim cabar diri rakam single versi Mandarin

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Akim Ahmad, mengakui bukan mudah menyanyi lagu Kasih Untuk Laila versi Mandarin yang bakal dilancarkan bersama single asal dalam tempoh terdekat.

Akim atau nama penuhnya Afiq Hakim Ahmad, berkata rakaman video muzik untuk lagu terbaharu kumpulan The Majistret juga begitu mencabar daya tahan mereka apabila ia dilakukan ketika musim salji di Korea Selatan, baru-baru ini.

"Biarpun pernah menyanyikan lagu dalam Bahasa Tamil, namun rasanya lebih sukar untuk menyanyikan versi Mandarin. Satu perkataan boleh memberikan maksud yang berbeza sekiranya salah sebut," katanya kepada BH Online.

Menurut Akim, mengikut perancangan awal, klip lagu baharu mereka itu akan dirakam di China.

"Namun, lokasi kemudian diubah ke Korea bagi disesuaikan dengan konsep video muzik. Pada mulanya, memang kami teruja apabila kali pertama melihat salji, namun kesejukan itu nampaknya menusuk sehingga ke tulang.

"Suasana yang begitu sejuk itu menguji kami untuk meneruskan penggambaran bersama alat muzik.

"Alhamdulillah, tempoh enam hari itu nampaknya berjaya dimanfaatkan sebaiknya. Kami mampu menyelesaikan semua kerja mengikut perancangan," kata Akim.

Selain beliau, The Majistret turut dianggotai oleh Zimi (gitar), Gjie (gitar), Fairuz (bes), Baby (gitar), Wan (dram) dan Afiez (keyboard).

Akim berkata, mereka juga sempat merakamkan video muzik Stereotaip yang menampilkan konsep berbeza dengan gaya kumpulan berkenaan.

"Sambil menyelam minum air, kami juga sempat merakamkan klip single lain ketika berada di sana. Kesempatan itu digunakan untuk mengetengahkan sesuatu yang berbeza bagi memberikan kelainan.

"Mungkin peminat tidak sangka itulah kami apabila melihat video muzik itu nanti," kata suami kepada Stacy itu.

Berita Harian X