Sabtu, 20 Januari 2018 | 5:28pm
ABAM Bocey, bersama isteri pada majlis resepsi sebelah pengantin lelaki di Kampung Sungai Salak, Gombak- Foto ihsan iphotoshoot2u @iphotoshoot2u (instagram)

Telatah isteri cetus idea lawak Abam

KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Abam Bocey, bersyukur isterinya, Siti Nurhidayah Mohd Ali memahami kesibukannya apabila hasrat berbulan madu belum kesampaian sejak mereka disatukan pada 8 Disember lalu.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 29, berkata kesibukannya membuatkan mereka belum sempat merancang destinasi berbulan madu, namun teringin menjejakkan kaki ke Asia Barat.

"Semua itu bergantung kepada jadual kerja saya. Selepas bernikah, jadual saya padat apabila terikat dengan pelbagai komitmen termasuk pertandingan Bintang Bersama Bintang di TV3. Saya harap impian itu terlaksana tahun ini juga," katanya.

Diraikan sekali lagi pada majlis resepsi sebelah pengantin lelaki di Kampung Sungai Salak, Gombak, tengah hari tadi yang dihadiri hampir 10,000 tetamu, Abam berkata, hidupnya semakin lengkap sejak menjadi suami.

Abam berkata, rutin hariannya semakin tersusun apabila isterinya membantu terutama dalam soal makanan dan pakaian.

Mengakui perasaan kekok tidak dapat dielak kerana mereka masih dalam proses saling mengenali, Abam yang segak menggayakan persalinan songket merah rekaan Ooi Couture bersyukur dengan jodoh pilihan ibunya itu.

"Saya bahagia, malah sangat berterima kasih kepada ibu yang mencari jodoh terbaik untuk saya. Selama ini, apa saja yang terbuku di hati saya luahkan kepada ibu.

"Apabila sudah berkahwin, isteri menjadi tempat saya berkongsi suka dan duka. Ada saja telatahnya yang mencuit hati dan membuat saya terhibur. Telatah lucunya ada ketika mencetuskan idea untuk saya berlawak di atas pentas," katanya.

Berita Harian X