Isnin, 22 Januari 2018 | 9:32pm
KUALA LUMPUR 2018.Pengecara dan model Malaysia, Neelofa merupakan selebriti yang tercalon dalam Anugerah Meletop Era 2018. STU/MUHAIMIN MARWANMUHAIMIN MARWAN

Lofa lupa penat dengan lakonan

KUALA LUMPUR: Di celah-celah kepadatan jadual kerja, pengacara dan usahawan terkemuka, Neelofa, masih mengambil sekurang-kurangnya satu tawaran berlakon drama atau filem dalam setahun.

Katanya, bidang lakonan yang cukup unik mampu menjadi ruang untuknya melupakan seketika kepenatan tugas, selain membolehkan beliau meneroka dunia lain.

Ia juga sekali gus membuka peluang kepada wanita berusia 28 tahun ini mencuba watak dan karakter yang berbeza.

"Kalau ikutkan, sepanjang tahun ini jadual kerja saya cukup padat dengan tanggungjawab dalam syarikat, kerja pengacaraan, tugasan di sektor korporat dan sebagainya.

"Saya tenang apabila berlakon dan kalau boleh, dalam setahun sekurang-kurangnya satu projek saya ambil. Akan datang, saya akan masuk ke lokasi penerbitan untuk siaran Hari Raya. Kebetulan, watak dan skripnya bagus serta ia hadir tepat pada waktunya.

"Sebenarnya, banyak tawaran terpaksa saya tolak disebabkan kekangan masa. Mujur tahun lalu saya berpeluang membintangi drama Red Velvet. Bagi saya, berlakon umpama 'melarikan diri' seketika daripada hambatan tugasan," katanya.

Neelofa yang ditemui pada majlis pengumuman pencalonan awal Top 20 Anugerah Meletop Era (AME 2018) di sini hari ini, bakal digandingkan bersama Nabil Ahmad sebagai hos bagi penganjuran edisi kelimanya di Axiata Arena Bukit Jalil, 8 April depan.

Menyentuh mengenai fokus anugerah terbabit, bintang berkenaan berharap mesej berkaitan isu buli siber dapat disampaikan secara jelas kepada khalayak.

Berita Harian X