Selasa, 23 Januari 2018 | 6:08pm
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari (dua, kanan) bersama Ketua Pengarah Finas Datuk Fauzi Ayob (dua, kiri) memberi sumbangan kebajikan kepada artis veteran dan bekas penyampai radio RTM Fatimah Yassin di kediaman Fatimah di Kelana Jaya hari ini. Turut serta Presiden Persatuan Seniman Zed Zaidi (kanan). - Foto BERNAMA

Fatimah Yassin menderita penyakit osteoporosis

KELANA JAYA: Bekas penyampai radio RTM, Fatimah Yassin yang kini terlantar menderita penyakit Osteoporosis atau tulang rapuh, menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari di kediaman anaknya, di sini, hari ini.

Fatimah suatu ketika dahulu terkenal dengan watak Che Yam dalam drama radio Nombor 5 Persiaran 1 terbitan RTM pada tahun 1974, dikesan menghidap penyakit tulang rapuh itu sejak empat bulan lalu.

Jailani yang mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) turut menyerahkan sumbangan khas kepada bintang drama radio dan TV berusia 79 tahun itu.

Bercakap kepada wakil media, beliau berkata, jangan dilihat dilihat penggiat seni ini hanya dari sudut industri kreatif semata-mata, tapi nilai juga peranannya dalam menyumbang kepada hala tuju negara.

Beliau mengambil contoh nilai murni yang banyak diselitkan menerusi siaran drama radio di RTM berjudul Nombor 5 Persiaran 1 dengan suntikan elemen murni mencetus keluarga bahagia seterusnya melahirkan masyarakat penyayang.

"Jika kita kaitkan dengan dunia media sosial hari ini, pelayar internet lebih mudah terdorong untuk melakukan sesuatu di luar batasan kerana kurangnya nilai murni itu.

"KKM menyeru agar masyarakat jangan melihat penggiat seni itu sekadar menyumbang kepada industri kreatif semata-mata tetapi mengambil elemen yang menyuntik nilai murni daripada karya mereka," katanya.

Yang turut hadir sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib; Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob dan Presiden SENIMAN, Zed Zaidi.

Sementara itu, Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusiri Abdul Talib, berkata pihaknya kini sedang dalam persediaan untuk menubuhkan yayasan bagi meringankan beban artis veteran yang berhadapan dengan masalah kesihatan.

Katanya, penubuhan yayasan di bawah perbadanan itu adalah inisiatif kerajaan dalam menjaga kebajikan warga seni sebagai tanda penghargaan atas sumbangan kepada masyarakat dan negara.

"Buat masa ini kerangka penubuhan yayasan itu sudah siap dan FINAS di bawah KKMM kini turut bekerjasama dengan beberapa persatuan seperti SENIMAN dan KARYAWAN untuk mengumpul seberapa banyak maklumat artis veteran yang berhadapan dengan masalah kesihatan atau masalah lain yang kita terlepas pandang sebelum ini," katanya.

Berita Harian X