Khamis, 25 Januari 2018 | 12:31pm
DATUK Seri Aliff Syukri (tengah) bersama duta produk, (dari kiri) Joy Revfa, Datin Seri Nur Shahida, Uyaina Arshad dan Nadia Annuar pada majlis pelancaran koleksi AliffbySha. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Aliff sangkal dakwaan labur duit jadi Badang

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, menafikan beliau melaburkan sejumlah wang untuk memegang watak utama dalam filem Badang arahan Datuk Profesor Madya Dr A Razak Mohaideen.

Filem terbitan FiTA Studios Sdn Bhd dan UiTM Holdings itu, yang akan mula ditayangkan pada 15 Februari depan, menyaksikan Aliff bergandingan dengan aktres, Fasha Sandha.

"Mana ada semua itu? Tiada istilah saya pam duit untuk filem ini atau melaburkan sejumlah bayaran hanya untuk mendapatkan watak utama.

"Saya ditawarkan atas kapasiti lakonan. Memang saya tahu, ada yang mempertikaikan pemilihan saya sebagai pelakon filem itu," katanya sambil menganggap peluang berkenaan sebagai rezeki.

Dalam pada itu, Aliff, 30, turut menyangkal dakwaan beliau menerima bayaran lumayan untuk berlakon drama.

"Bayaran saya sama sahaja macam artis baharu lain. Untuk penggambaran sehari, saya dapat kira-kira RM1,000 hingga RM1,200. Tak adalah banyak manapun. Jujurnya, saya berlakon sekadar suka-suka, cuma tidak disangka pula akhirnya ia membuahkan hasil.

"Berlakon drama memang memenatkan sebenarnya. Jam 2 atau 3 pagi baru dapat balik ke rumah. Ia tampak menyeronokkan apabila dilihat di televisyen, hakikatnya ia bukan kerja mudah," katanya.

Aliff yang baru melancarkan perniagaan restoran di Kota Damansara dan koleksi tudung berkata, beliau selesa berlakon di sisi Fasha.

"Dia seorang yang mementingkan kesempurnaan, cerewet dalam soal kerja dan amat fokus. Saya sendiri tak boleh tengok matanya yang menggoda itu," katanya yang juga mencuba bidang nyanyian dengan lagu Abang Nak Tegur.

Berita Harian X