Khamis, 25 Januari 2018 | 3:31pm
VOKALIS Pesawat, Jipie, merakamkan lagu secara solo untuk mencuba genre muzik berbeza.
KUMPULAN Pesawat bakal meraikan usia sedekad dalam muzik dengan penganjuran konsert.

Projek solo bukan petanda tinggalkan Pesawat - Jipie

KUALA LUMPUR: Vokalis Pesawat, Jipie, nafi projek solo yang direalisasikan selepas 10 tahun bersama kumpulan berkenaan sebagai tanda mereka bakal memilih haluan sendiri.

Pemilik nama sebenar Hudzaifei Hazmi, 37, itu memaklumkan, dorongan untuk melebarkan sayap peribadi lebih menjurus kepada usahanya mencuba genre muzik lain.

Katanya, sebagai pemuzik merangkap komposer yang turut mencipta lagu untuk penyanyi lain, ia membuatkannya ingin berkongsi sesuatu yang berbeza daripada muzik Pesawat.

"Mana mungkin saya mahu meninggalkan Pesawat, atau kami sudah tidak sehaluan lagi. Projek solo membabitkan single berjudul Vortex ini sebagai lambang kecintaan saya kepada aneka genre muzik.

"Iramanya tentu saja berbeza daripada apa yang kami perjuangkan bersama Pesawat kerana band kami selama ini cukup sinonim dengan muzik rock rancak dan bingit.

"Kebetulan, peluang itu datang pada waktu yang tepat, iaitu sebaik saja saya didatangi pengarah, Nik Amir Mustapha, yang mahu saya menghasilkan lagu OST telefilem, Ilham, sekali gus membuka ruang untuk saya menghasilkan Vortex," katanya.

Sebelum ini, Jipie bersama anggota kumpulannya pernah dipertanggungjawabkan menghasilkan lagu runut bunyi filem Kil (2013) berjudul Rapuh.

Menyentuh perkembangan Pesawat, mereka bakal mengadakan konsert khas bersempena ulang tahun sedekad album sulung pada Ogos depan, yang diberi nama Mirage 10 Tahun.

"Sebagai permulaan sambutan 10 tahun kami, Pesawat baru-baru ini mengadakan persembahan di Johor Bahru bersama sebuah lagi kumpulan, Plague of Happiness, sebagai prelude dan ia akan disusuli konsert khas pada Ogos nanti," katanya.

Selain Jipie, kumpulan yang kerap diundang menjayakan persembahan di luar negara termasuk Festival Music Matters Live di Hong Kong turut dibarisi Kudux (dram), Nizam Camel (gitar), Mann (bes) dan Danial Nor (pemain synthesizer)

Berita Harian X