Khamis, 25 Januari 2018 | 9:15pm
PELAKON, Erwin Dawson, kini menjadi hos program bual bicara pagi terbitan ntv7, Feel Good Show.- Foto: Nur Adibah Ahmad Izam

Saya tak sombonglah - Erwin Dawson

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Singapura, Erwin Dawson, 29, berasa pelik apabila masih ada segelintir pihak menganggap dirinya sombong.

Erwin atau nama penuhnya Mohamed Erwin Shah Evan Dawson berkata, sehingga kini, beliau cukup mesra dengan sesiapa saja yang menegurnya.

"Biasalah, ada masanya 'mood' kita kurang baik, jadi ekspresi wajah tidaklah seceria mana. Tetapi, jika ada yang menegur, pastinya saya akan membalas dengan senyuman.

"Saya tak sombonglah! Pelik apabila ada yang beranggapan sedemikian. Cuma, janganlah mengharapkan saya senyum sepanjang masa kerana ada masanya kita penat," jelasnya kepada BH Online.

Sementara itu, ditanya mengenai pengikutnya di Instagram yang baru mencecah 101,000 orang, bintang filem Warna Cinta Impian ini sedar jumlah terbabit tidak seramai milik artis lain.

Maklum kebanyakan projek drama hari ini dikatakan memilih barisan pelakon berdasarkan jumlah pengikut laman sosial, beliau tidak gusar dan tetap percaya kualiti kerja masih diutamakan.

"Diakui, pelakon dipilih menjayakan sesebuah drama berdasarkan jumlah pengikut mereka ada. Tetapi bagi saya, itu pilihan masing-masing.

"Saya pula akan terus mengasah bakat bagi menghasilkan lakonan berkualiti. Saya percaya, dengan menunjukkan hasil kerja yang bagus, ia akan membuatkan banyak pihak senang dengan kita.

"Alhamdulillah, sehingga kini saya masih ditawarkan berlakon. Jadual kerja saya juga belum pernah kosong bagi tempoh masa yang lama," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Erwin kini menjadi hos program bual bicara pagi terbitan ntv7, Feel Good Show.

Selain itu, beliau juga terbabit dengan penggambaran drama, Tiada Arah Jodoh Kita, untuk siaran TV3, dan akan memulakan penggambaran sebuah lagi drama, Nafas, bersama Sangeeta Krishnasamy (ntv7).

Berita Harian X