Rabu, 31 Januari 2018 | 6:46pm
PENYANYI Anuar Zain, Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma pada sidang media , Live In Consert BCL, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Di Traders Hotel KL. - Foto Rohanis Shukri.
ANUAR Zain.

Vokal saya sudah pulih - Anuar Zain

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mampu menarik nafas lega apabila masalah kehilangan suara yang dihadapi sejak tahun lalu, pulih sepenuhnya.

Sehubungan itu, Anuar berharap peminat tidak perlu bimbang dengan keadaan kesihatannya lagi.

Malah, beliau sudah bersedia untuk kembali beraksi dan membawakan lagu bernada tinggi.

"Saya mengaku sebelum ini saya trauma untuk menyanyi dalam konsert besar. Ini berpunca masalah kehilangan suara sehingga saya menolak menjayakan tiga acara termasuk di Singapura.

"Selepas mendapatkan rawatan, suara saya sudah pulih sepenuhnya dan mampu membawa lagu mengikut kemampuan sendiri.

"Doktor pun tidak melarang saya menyanyi dengan nada tinggi," katanya pada sidang media Konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di ibu negara, petang tadi.

Konsert anjuran Kharisma Entertainment itu akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 24 April depan.

Ini adalah konsert berskala besar Anuar untuk tahun baharu dan beliau menjanjikan beberapa konsert lain bakal menyusul.

Masalah kehilangan vokal penyanyi lagu Andainya Takdir berlaku ketika Anuar sedang membuat persiapan untuk Konsert Yonder Music Live Series By The Lake : Anuar Zain & You yang sepatutnya berlangsung pada 21 Januari, tahun lalu.

Situasi itu membuatkan adik kepada penyanyi Ziana Zain ini dikatakan mengalami tekanan teruk.

Berita Harian X