Khamis, 1 Februari 2018 | 5:00pm
PELAKON dan pengacara, Mira Filzah. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Penonton Nona meningkat sejak Mira jadi pengacara

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Mira Filzah, tidak menyangka pemilihannya sebagai hos baharu Nona membantu meningkatkan jumlah tontonan program kewanitaan itu.

Kata Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 itu, sememangnya beliau teruja dan gembira apabila pembabitannya dalam rancangan siaran TV3 itu diterima baik.

Difahamkan, sejak Mira atau nama penuhnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 24, mengendalikan rancangan berkenaan, jumlah tontonan Nona meningkat sebanyak 10 peratus.

"Alhamdulillah, pembabitan Mira sebagai hos Nona diterima baik. Apabila dihulurkan peluang mengacarakan rancangan itu, memang menjadi misi Mira untuk membuatkan penonton terus setia dan melekat di depan televisyen mengikuti program terbabit.

"Mira juga tidak mahu penonton di luar sana masih beranggapan, Nona adalah sebuah rancangan untuk wanita dewasa semata-mata. Sebaliknya, ia boleh ditonton oleh semua peringkat usia kerana isi kandungannya luas dan tidak terikat pada satu generasi.

"Malah, bukan setakat golongan wanita, lelaki juga boleh menonton rancangan ini," katanya yang sedang bercuti di Cappadocia, Turki, ketika dihubungi BH Online.

Mula bersiaran bersama program itu sejak 7 Januari lalu, Mira sehingga kini sudah menjayakan penggambaran lapan episod program terbabit.

Dunia pengacaraan bukan asing bagi gadis bertudung ini kerana sebelum mengendalikan Nona, beliau juga pernah menjadi hos beberapa program lain seperti Qari Jr 2015, 3 Juara, ABPBH29 dan Mahligai Cinta.

"Mira sendiri sebenarnya tidak pernah menyangka dapat menjadi sebahagian daripada sejarah Nona, yang diperkenalkan TV3 sejak 1985.

"Maklum saja, sebelum ini ia pernah diterajui oleh nama besar dalam industri penyiaran seperti Dian P Ramlee, Puan Sri Normala Samsudin, Maya Karin, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fiza Sabjahan, Neelofa dan Fara Fauzana.

"Ia memang peluang keemasan buat Mira," katanya yang menggantikan tempat Uyaina Arshad.

Selain di televisyen, program Nona juga dapat diikuti menerusi portal video www.tonton.com.my melalui langganan pakej tonton VIP.

Menyentuh percutiannya di Turki bersama ibu dan adik sejak 30 Januari lalu, Mira berkata, selain Cappadocia, mereka juga singgah di Istanbul dan Bursa.

"Pada mulanya, Mira cuma berniat hendak membawa adik bercuti kerana dia baru saja tamat belajar. Begitupun, alang-alang berbuat demikian, Mira merancang mahu membawa mak dan ayah sekali. Namun, ayah pula agak sibuk ketika ini. Sudahnya, hanya kami bertiga yang terbang ke sini," katanya yang akan kembali ke tanah air pada 4 Februari.

Berita Harian X