Ahad, 4 Februari 2018 | 9:51pm
PENGARAH filem, Syafiq Yusof. - Foto: Rohanis Shukri
PENGARAH filem, Syafiq Yusof. - Foto: Rohanis Shukri

Syafiq sambut kelahiran puteri kedua

KUALA LUMPUR: Pengarah filem, Mohd Syafiq Yusof, 25, menyambut kelahiran anak perempuan keduanya, hari ini.

Menerusi perkongsian di laman sosial Instagramnya sebentar tadi, pengarah Abang Long Fadil 2 terbabit tidak menyatakan dengan terperinci mengenai kelahiran puterinya itu, sebaliknya hanya memberikan nama dan latar belakangnya, tarikh kelahiran dan berat bayi berkenaan.

Memilih nama Nuur Nusaybah, bayi berkenaan dilahirkan dengan berat 3.6 kilogram.

"Nusaybah ialah seorang daripada serikandi Islam dan pejuang Muslimah Islam yang pertama. Dia turut serta dalam Perang Uhud, Perang Hudaibiyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah serta menyaksikan Bait al-Aqabah.

"Nusaybah binti Kaab dikenal dengan jolokan Ummu Umara," tulis Syafiq mengiringi sekeping foto bayi comel yang berbalut selimut berwarna hijau.

GAMBAR anak kedua Syafiq, Nuur Nusaybah, yang dikongsi bapanya di Instagram sebentar tadi.
GAMBAR anak kedua Syafiq, Nuur Nusaybah, yang dikongsi bapanya di Instagram sebentar tadi.

Ketika artikel ini ditulis, perkongsian berkenaan sudah pun mendapat hampir 2,000 'like'.

Anak kepada produser terkemuka, Datuk Yusof Haslam, itu mendirikan rumah tangga dengan Aisyeah Zainal pada 5 April 2014. Pada Januari 2016, mereka dikurniakan puteri pertama yang diberi nama Nuur Jannah.

Pada 8 Mac depan, pengarah yang pernah melakar nama sebagai sutradara paling muda menghasilkan filem di Malaysia ini akan menyaksikan naskhah terbaru arahannya, KL Special Force, menemui penonton di lebih 100 pawagam seluruh negara.

Antara pelakon yang terbabit dalam filem bercorak aksi terbitan Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios itu ialah Fattah Amin, Datuk Rosyam Nor, Shaharudin Tambi, Mahmud Ali Bashah, Tania Hudson, Ramona Zamzam dan abangnya, Syamsul Yusof.

Berita Harian X