Isnin, 5 Februari 2018 | 3:30pm
PELAKON, Syafie Naswip, mendalami bidang lakonan dengan mencuba pelbagai watak diberikan. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman

Syafie lambat diberi watak matang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafie Naswip, menafikan dirinya terpalit badi apabila lambat diberikan peluang membawa watak matang, sebaliknya sering dibayangi karakter remaja yang dianggap sebati dengannya.

Memulakan kerjaya lakonan ketika umurnya 14 tahun, Syafie, 25, bagaimanapun lega apabila kini mula dihulurkan watak lebih dewasa, sesuai peningkatan usianya.

"Saya rasa peluang untuk membawakan watak lelaki matang tiba agak perlahan kerana saya bermula sebagai pelakon pada usia terlalu muda. Namun, saya hargai setiap proses pembelajaran, pada masa sama mengumpul ilmu dan nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman.

"Saya suka dengan cara ini kerana dapat meneroka setiap watak ditawarkan. Orang kata, biar lambat asalkan selamat. Alhamdulillah, saya mula nampak perubahan dari segi watak yang diberi.

"Ketika ini, saya mula mendapat watak yang seimbang, lebih matang dan tidak ketinggalan menggalas peranan utama. Insya-Allah, waktu itu tetap akan datang. Cuma kita perlu bersabar, terus berusaha dan percaya pada diri sendiri," katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Syafie tidak pernah berhenti mendalami ilmu lakonan dengan mencuba pelbagai watak bagi membolehkannya mencapai impian bergelar aktor serba boleh.

Ditanya mengenai perancangan kerjayanya, termasuk kemungkinan mencuba bidang seni suara, bintang filem Jibam ini bersikap terbuka dalam soal berkenaan.

"Saya mahu menjadi seorang anak seni yang serba boleh. Jika ada rezeki, saya juga tidak menolak untuk mencuba dunia nyanyian.

"Ketika ini, saya memfokuskan pada lakonan dulu, namun tentunya saya mahu melangkah ke arena pengarahan dan penerbitan andai rezeki menyebelahi diri," katanya yang mula diperkenalkan ke layar lebar menerusi filem Mukhsin.

Dalam perkembangan lain, Syafie masih sibuk dengan penggambaran filem aksi, Polis Evo 2. Dia juga terbabit dengan sebuah program masakan untuk siaran HyppTV, selain drama Aurora Aisyah dan Syahadat Cinta (RTM) serta Kau Aku Hantu Raya (TV3).

Berita Harian X